Rabu, 18 Oktober 2017 | 5:22pm
SIN Woon beramah mesra bersama anak-anak Orang Asli sempena Program Jalinan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Gebok, Mantin hari ini. - Foto BERNAMA
SIN Woon beramah mesra bersama anak-anak Orang Asli sempena Program Jalinan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Gebok, Mantin hari ini. - Foto BERNAMA
SIN Woon bergambar bersama penduduk ketika mengadakan lawatan ke Kampung Gebok, Mantin, Nilai. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan
SIN Woon bergambar bersama penduduk ketika mengadakan lawatan ke Kampung Gebok, Mantin, Nilai. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan

Guru Orang Asli dilatih ajar pelajar kaum sendiri

SEREMBAN: Kementerian Pendidikan ketika ini sedang melatih guru daripada kalangan Orang Asli, untuk mengajar pelajar daripada kaum itu sendiri.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon, berkata guru itu kini sedang mengikuti pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) selama lima tahun.

Katanya, kumpulan pertama guru itu akan tamat pada tahun ini, dan akan ditempatkan di Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) dan sekolah berhampiran perkampungan Orang Asli.

"Guru ini akan membantu pelajar Orang Asli untuk memberi lebih tumpuan ketika belajar, kerana mereka lebih memahami budaya dan gaya hidup kaum sendiri.

"Ini sekali gus, dapat mengurangkan masalah keciciran pelajar Orang Asli yang ketika ini amat membimbangkan," katanya selepas Program Jalinan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Gebok, Mantin, di sini, hari ini.

Sin Woon berkata, K9 menempatkan murid Orang Asli bermula Tahun Satu sehingga Tingkatan Tiga, sekali gus dapat meningkatkan tahap pendidikan mereka apabila guru dapat memberi lebih tumpuan terhadap mereka.

Katanya, buat masa ini K9 hanya diwujudkan di kawasan perkampungan Orang Asli yang ramai penduduk, dan akan diperluaskan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian dan kemudahan.

Beliau berkata, masalah keciciran pelajar di kalangan pelajar Orang Asli ketika ini amat membimbangkan, terutama selepas mereka masuk ke sekolah menengah.

Katanya, ini kerana mereka kurang selesa dengan persekitaran baharu, berikutan sebelum itu bersekolah di sekolah rendah yang berhampiran kampung masing-masing.

"Ada kalangan mereka diejek dan sikap pemalu itu membuatkan mereka tidak mahu ke sekolah berkenaan kerana tidak selesa. Ini yang kita mahu elakkan dengan menghantar guru dari kalangan mereka sendiri untuk mengajar," katanya.

Berita Harian X