Jumaat, 13 Oktober 2017 | 8:08pm

Kehadiran murid Orang Asli capai 86.3 peratus

PUTRAJAYA: Kehadiran murid Orang Asli ke sekolah mencatatkan peningkatan kepada 86.3 peratus tahun lalu, berbanding 79.1 peratus pada tahun sebelumnya, sekali gus mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Pendidikan.

Kementerian itu memaklumkan, peningkatan itu dapat dilihat dari tahun ke tahun apabila kadar kehadiran murid Orang Asli mencapai 76.7 peratus pada 2013 dan meningkat kepada 78.8 peratus pada 2014.

Kementerian Pendidikan berkata, peratusan kehadiran murid kaum itu perlu dipertingkatkan, selain kecemerlangan mereka di bawah inisiatif ke-57, Transformasi Pendidikan Orang Asli yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Katanya, perkara itu digariskan pada Seminar Amalan Terbaik Sekolah Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2017 yang diadakan di Kuala Lumpur pada 3 hingga 5 Oktober lalu.

"Selain meningkatkan peratusan kehadiran murid, penganjuran seminar itu juga membabitkan inisiatif ke-62 iaitu Peluasan Pelaksanaan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti.

"Ia bertujuan memastikan pembabitan ibu bapa dan komuniti di sekolah Orang Asli terus aktif dan secara langsung dapat membantu kejayaan murid itu dalam pembelajaran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, seramai 98 Guru Besar dan pentadbir sekolah Orang Asli dari Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor berkongsi idea dan maklumat pada seminar itu, yang menyentuh mengenai amalan terbaik dalam meningkatkan kualiti pendidikan anak Orang Asli di seluruh negara.

Berita Harian X