Rabu, 11 Oktober 2017 | 12:47pm
Presiden MIASA, Anita Abu Bakar. - Foto Zunnur Al Shafiq
Presiden MIASA, Anita Abu Bakar. - Foto Zunnur Al Shafiq

Pesakit kesihatan mental perlu sokongan masyarakat

PETALING JAYA: Masalah tekanan di tempat kerja selain isu kekeluargaan seperti perkahwinan, kemahiran keibubapaan dan bebanan kewangan menjadi antara punca gangguan kesihatan mental dihadapi penduduk negara ini terutama golongan wanita.

Kebimbangan untuk mendapatkan bantuan selain salah anggap masyarakat terhadap penyakit kesihatan mental menyebabkan pesakit tidak mendapat rawatan awal selain ketiadaan sokongan sosial dalam masyarakat untuk menangani permasalahan ini.

Menyedari perlunya sokongan kepada mereka yang menghidap penyakit kesihatan mental, Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA) ditubuhkan untuk membawa perubahan dalam masyarakat mengenai stigma atau tanggapan negatif yang sering diberikan bukan saja kepada penyakit berkenaan tetapi juga pesakitnya.

Presiden MIASA, Anita Abu Bakar berkata, selain bertujuan mendidik orang ramai mengenai kesengsaraan dan kesukaran yang dihadapi pesakit, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini juga diharapkan mampu menjadikan suara mereka lebih diterima dalam masyarakat.

"Sebenarnya dalam masyarakat kita ramai yang menghadapi masalah kesihatan mental seperti was-was, kebimbangan melampau, kemurungan dan tekanan yang memberi kesan terhadap keupayaan individu untuk bekerja, mengekalkan hubungan atau meneruskan kehidupan mereka.

"Malangnya ramai yang tidak tahu ke mana harus mereka pergi untuk mendapatkan bantuan selain adanya stigma yang menganggap mereka sebagai gila, tidak stabil, bahaya ganas dan mengada-ngada.

"MIASA diilhamkan dan ditubuhkan oleh kumpulan pesakit sendiri bagi mempromosi kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental dan isu-isu berkaitan," katanya kepada BH, sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia, di sini.

Hari Kesihatan Mental Sedunia, inisiatif Kesatuan Kesihatan Mental Sedunia (WFMH) disambut setiap 10 Oktober dengan tema tahun ini ialah Kesihatan Mental di Tempat Kerja.

Anita berkata, salah tafsir terhadap kesihatan mental akibat kurangnya pemahaman mengenainya sehingga seseorang lewat mendapatkan rawatan dibimbangi boleh membawa risiko lebih besar kepada pesakit seperti bunuh diri.

"Ini yang cuba kami elakkan untuk mengelak pesakit daripada berasa malu bagi mendapatkan bantuan seterusnya membolehkan mereka mendapat layanan yang sama dan dihargai dalam masyarakat apabila kembali semula kepada kehidupan normal.

"Sebab itu kami menjalankan pelbagai aktiviti untuk membantu pesakit sehingga ia akan memberi kesan berterusan dalam kehidupan pesakit," katanya.

Anita berkata, antara aktiviti dilakukan persatuan itu termasuklah mengadakan kumpulan sokongan, terapi spiritual mengikut ajaran Islam, penilaian teraputik dan ceramah serta bengkel.

"Saya sendiri adalah pesakit kesihatan mental dan pernah mengalami serangan panik yang teruk tiga tahun lalu selain kebimbangan melampau yang menjejaskan kehidupan dan pekerjaan.

"Terlalu banyak diskriminasi dalam masyarakat yang perlu diubah terhadap pesakit mental kerana penyakit ini boleh dirawat dengan sokongan penuh masyarakat untuk memastikan kami kembali menjadi individu yang produktif," katanya.

Sementara itu, bekas Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr Abdul Kadir Abu Bakar berkata, laporan Saringan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 yang menunjukkan hampir 30 peratus penduduk di negara ini mengalami gangguan mental disifatkan amat membimbangkan.

"Daripada jumlah itu, golongan wanita dalam usia lingkungan 30 hingga 35 tahun adalah paling ramai didapati menghadapi masalah gangguan mental ini.

"Tetapi rawatan amat penting kerana 80 peratus daripada penyakit ini boleh dipulihkan menerusi rawatan yang tepat selain mereka sangat memerlukan sokongan masyarakat terutama dalam kalangan rakan sebaya untuk kembali menjalani kehidupan normal," katanya.

Info:

Penyakit kesihatan mental

*Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 12 peratus penduduk dunia terjejas akibat penyakit ini.

*Data WHO 2017 menunjukkan 300 juta penduduk dunia hidup dalam kemurungan

*Sebanyak 50 peratus yang murung tidak mendapat rawatan

*Sebanyak 94 peratus bekerja dalam keadaan tertekan

Berita Harian X