Selasa, 10 Oktober 2017 | 12:50pm
PENGARANG Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman bersama murid ketika majlis menyerahan wakaf di Gelang Patah.
PENGARANG Eksekutif Berita, Rencana dan Digital Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (tengah) memotong riben sebagai simbolik penajaan sebuah wakaf gazebo di SK Tiram Duku di Gelang Patah, sempena projek usahasama Berita Harian bersama pemaju Country Garden Pacific View, dan bersama Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Country Garden Pacific View, Aeron Munajat (kanan) dan Guru Besar SK Tiram Duku, Hawa Yunus (kiri) - Foto Mohd Azren Jamaludin
PENGARANG Eksekutif Berita, Rencana dan Digital Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (kiri) bersama pelajar sekolah sempena projek usahasama Berita Harian bersama pemaju Country Garden Pacific View, selepas majlis penajaan sebuah wakaf gazebo di SK Tiram Duku di Gelang Patah. - Foto Mohd Azren Jamaludin

BH, Forest City sumbang 5 wakaf

GELANG PATAH: Akhbar BH dan Forest City, hari ini memulakan program penyerahan lima unit wakaf kepada lima sekolah rendah sekitar kawasan itu sebagai satu program kemasyarakatan pendidikan untuk komuniti setempat.

Program sumbangan yang dinamakan Wakaf BH-Forest City membabitkan tajaan lima wakaf yang diserahkan kepada lima sekolah angkat Forest City di sini.

Lima sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tiram Duku, SK Tanjung Adang, SK Morni Pok, SK Tanjung Kupang dan SK Pendas Laut.

Hari pertama menyaksikan majlis penyerahan di SK Tiram Duku, SK Tanjung Adang dan SK Morni Pok, manakala hari kedua esok di SK Tanjung Kupang dan SK Pentas Laut.

Penyerahan pada program hari ini disempurnakan Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman bersama Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Country Garden Pacific View (CGPV), Aeron Munajat.

Ahmad Zaini berkata, program berkenaan diadakan bersempena sambutan ulang tahun akhbar BH yang ke-60.

"Selain lima wakaf, Forest City turut menaja pelbagai aktiviti pendidikan anjuran BH dan New Straits Times (NST) termasuk penganjuran seminar bimbingan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Didik dan bengkel UPSR NST yang diadakan Ogos lalu.

"Forest City menerusi syarikat CGPV turut menaja 6,000 sisipan Didik dan School Times, 120 buku UPSR selain 600 kad langganan FullAMark untuk membantu pencapaian akademik pelajar di lima sekolah itu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Aeron berkata, usaha berkenaan dilakukan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat terhadap komuniti setempat.

"CGPV bukan sahaja melakukan pembangunan tetapi pada masa sama memastikan penduduk sekitar kawasan projek ini mendapat manfaat dan limpahan," katanya.

Berita Harian X