Ahad, 8 Oktober 2017 | 12:10pm
GAMBAR fail, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto NSTP/Khairull Azry Bidin
GAMBAR fail, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto NSTP/Khairull Azry Bidin

Industri pelancongan disaran amal konsep keselamatan, kesihatan pekerjaan

KUALA LUMPUR: Penggiat industri pelancongan di negara ini disaran menerima pakai konsep keselamatan dan kesihatan pekerjaan untuk sektor itu bagi menurunkan kes kemalangan dan isu kesihatan dalam industri berkenaan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata konsep itu bukan bermakna industri perlu mencapai sifar kemalangan.

"Ia lebih kepada mengubah pemikiran bahawa kemalangan dan masalah kesihatan di tempat kerja boleh dicegah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Statistik Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mencatatkan 87 kemalangan dan tiga kematian dalam sektor perhotelan dan restoran di negara ini tahun lalu dengan dua kes hilang upaya kekal.

Sebanyak 42 kemalangan pula dilaporkan dalam sektor sama bagi tujuh bulan pertama tahun ini.

Lam Thye berkata, jika semua dalam industri pelancongan berpegang teguh kepada konsep ini, mereka akan mengambil langkah proaktif mencegah kemalangan atau penyakit, sekali gus membantu menurunkan jumlah kes secara keseluruhan.

Katanya, NIOSH sedia membantu industri melaksanakan konsep itu sejajar fungsi utamanya menyediakan latihan, khidmat nasihat, menyebarkan maklumat dan menjalankan penyelidikan dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tiada statistik lengkap insiden kemalangan dalam sektor berkenaan kerana ia amat luas dan dikumpulkan agensi berbeza.

"Adalah penting untuk kita mempunyai statistik lengkap agar perancangan lebih baik dapat dibuat untuk mengatasinya pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata, walaupun kemalangan maut dan kecederaan parah tidak kerap berlaku dalam sektor pelancongan, risiko tetap ada seperti dilaporkan media dari semasa ke semasa.

"Apabila kemalangan bas dan bot membawa pelancong misalnya, jumlah mangsa biasanya agak tinggi.

"Kes sedemikian bukan sahaja boleh menyebabkan kehilangan nyawa, tetapi juga mencalar reputasi negara sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini," katanya.

Lam Thye berkata, kemalangan boleh dicegah dengan mengamalkan konsep mengenalpasti bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC).

"Pemanduan dalam cuaca buruk mendedahkan pemandu teksi dan bas pelancong kepada bahaya, termasuk kemalangan maut," katanya.

NIOSH melaksanakan pelbagai program untuk industri pelancongan, terutama di Sabah termasuk seminar kesedaran KKP, pemanduan berhemah untuk pemandu bas pelancong, kursus asas keselamatan aktiviti air, pertolongan cemas dan induksi keselamatan.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 meletakkan tanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan terletak pada bahu majikan dan pekerja.

Berita Harian X