Sabtu, 7 Oktober 2017 | 8:34pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed bersama peserta Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) selepas merasmikan TUBE Mega Peringkat Kebangsaan di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara Sinar Jaya Kota Belud hari ini.- Foto BERNAMA

Program lahir lebih ramai usahawan perlu diterus

KOTA BELUD: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mahu Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dijadikan agenda tahunan sejajar usaha mahu melahirkan lebih ramai usahawan belia di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata TUBE adalah agenda dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang akan berakhir tidak lama lagi.

"Oleh itu kita mahu kerajaan terus memberi perhatian kepada program ini termasuk menjadikannya agenda tahunan dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera.

"Pelaburan untuk program ini kecil tetapi mampu memberi pulangan besar kepada keluarga peserta seterusnya negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan TUBE Mega Peringkat Kebangsaan di Kem Sinar Jaya, Kota Belud, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Musbah Jamli dan Pengerusi SME Corp Malaysia, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid.

Terdahulu dalam ucapannya, Mustapa berkata, seramai 1,000 usahawan belia Bumiputera menjalani latihan dan menerima bimbingan keusahawanan melalui program TUBE Mega di 10 Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) seluruh negara.

"Mereka menjalani latihan selama tiga minggu di kem PLKN di negeri masing-masing termasuk Kem Sinar Jaya di Sabah sejak 1 Oktober lalu.

"TUBE yang bermula pada 2014 sudah melahirkan 1,436 usahawan belia di seluruh negara setakat 2016. Menerusi tiga program TUBE sebelum ini, hanya 500 peserta dipilih atau 50 peserta di setiap negeri.

"Tahun ini jumlah peserta ditambah kepada 1,000 orang yang menjalani latihan keusahawanan di 10 kem PLKN dengan penyertaan 100 orang dari setiap negeri," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dalam teks ucapan dibacakan Musbah, berkata kerajaan meluluskan peruntukan bagi Program TUBE Mega 2017 sebanyak RM20 juta.

"Sebanyak RM9 juta adalah daripada peruntukan RMK-11 sedia ada dan RM11 juta lagi peruntukan tambahan daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

"Ini kerana jumlah peserta tahun ini meningkat daripada 500 orang kepada 1,000. Saya dimaklumkan 151 peserta TUBE dari Sabah berjaya menjalankan perniagaan setelah mengikuti program ini pada 2014, 2015 dan 2016.

"Nilai jualan yang berjaya direkodkan mereka adalah sebanyak RM2.8 juta dan mewujudkan 405 peluang pekerjaan," katanya.

Berita Harian X