Ahad, 1 Oktober 2017 | 6:08pm
SETIAUSAHA MAINS, Kamal Amran (kanan) menyampaikan sumbangan baucer bernilai RM400 kepada mangsa kebakaran Sekolah Tinggi Islam As Sofa, Kampung Nesarau, Kota, Rembau. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan

Kebakaran asrama As Sofa: Calon PT3, SPM tak putus asa

SEREMBAN: Biar pun hilang semua buku dan nota dalam kebakaran asrama perempuan Sekolah Tinggi Islam As Sofa di Rembau pada Khamis lalu, pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting tidak berputus asa.

Daripada 37 penghuni asrama berkenaan, tujuh pelajar bakal menghadapi Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bermula minggu depan, manakala lapan lagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November.

Bagi Aireen Badrisya Azrienne, 15, dia menganggap segala yang berlaku sebagai ujian Tuhan dan kini sibuk mengumpul semula nota ringkas dan buku rujukan dengan bantuan guru serta rakan.

"Semua nota serta buku saya musnah dalam kebakaran itu. Alhamdulillah, ramai rakan lama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Kubu Bharu, Selangor, berkongsi nota untuk saya mengulang kaji.

"Guru juga tidak membiarkan kami bersendirian, sebaliknya banyak memberi buku rujukan baharu," katanya pada majlis penyampaian sumbangan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) kepada mangsa kebakaran itu di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi Khamis lalu, asrama perempuan di Kampung Nerasau, Kota, musnah terbakar, namun semua 37 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun berjaya menyelamatkan diri.

Sementara itu, Nur Athirah Izzati Shamsul Murfiz, 17, yang akan menduduki SPM, berazam melupakan kejadian itu bagi memberi sepenuh perhatian terhadap persediaan akhir menjelang peperiksaan penting berkenaan.

"Saya sebenarnya masih trauma, namun berusaha mengatasinya supaya dapat memberi tumpuan kepada SPM. Sekarang, saya dalam proses membeli semula pakaian serta kelengkapan belajar termasuk buku dan alat tulis.

"Semua buku dan nota sebelum ini musnah, saya terpaksa membuat rujukan menggunakan internet dan berharap dapat membuat persediaan secukupnya," katanya.

Berita Harian X