Khamis, 28 September 2017 | 4:32pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 dan Festival Makanan Malaysia (MFF) di Maeps Serdang. Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (dua dari kanan) dan timbalannya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (lima dari kanan) serta Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Seri Saipolbahari Suib (dua dari kiri). - Foto Asyraf Hamzah
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 dan Festival Makanan Malaysia (MFF) di Maeps Serdang. Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (dua dari kanan) dan timbalannya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (lima dari kanan) serta Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Seri Saipolbahari Suib (dua dari kiri). - Foto Asyraf Hamzah

Peladang, penternak, nelayan ikrar sokong PM

SERDANG: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang mewakili lebih sejuta peladang, penternak dan nelayan hari ini berikrar dan menyatakan komitmen untuk terus menyokong kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Seri Saipolbahari Suib, berkata keprihatinan Perdana Menteri terhadap golongan itu tidak akan dipersia-siakan, sebaliknya akan dibalas dengan sokongan dan dokongan berterusan.

"Saya selaku Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (NAFAS), mewakili 1.2 juta ahli pertubuhan peladang, penternak dan nelayan seluruh negara, sejak dahulu sehingga ke hari ini dan seterusnya, ingin menegaskan sokongan penuh kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri.

"Bagi kami, tidak ada satu sebab untuk tidak menyokong kerajaan ini, kerana setiap satu hektar tanaman padi, kami mendapat subsidi sebanyak RM2,600, diberikan pula kemudahan yang lain seperti tali air, parit dan sebagainya. Kami tidak lupakan jasa kerajaan ini.

"Kami tidak lupa, elaun sara hidup RM300 sebulan diberikan kepada nelayan. Kami tidak lupa, subsidi pembelian padi oleh kerajaan sebanyak RM500 juta. Kami juga tidak lupa, pembekalan baja padi, racun dan kapur diberikan kerajaan ini kepada NAFAS. Kami tidak lupa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat kebangsaan (HPPNK) 2017 dan Festival Makanan Malaysia (MFF) 2017 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Perdana Menteri. Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Saipolbahari berkata, berkat sokongan padu kerajaan, NAFAS selama lima tahun berturut-turut memberikan dividen berjumlah lebih RM7.7 juta kepada pemegang saham.

Beliau berkata, dana dapat disalurkan terus kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) pada tahun ini dengan sejumlah RM10,000 diberikan kepada setiap PPK.

"Bukan itu sahaja, hasil keuntungan perniagaan yang diberikan oleh kerajaan kepada NAFAS, dipulangkan semula kepada rakyat khususnya kepada golongan ini. Kami luaskan jangkauan perniagaan usahawan tani dengan menyertai Jelajah Tani, Agro Tani, Jalinan Tani, Gelombang Tani dan tidak lama lagi bakal diadakan Gelombang Nelayan Nasional pula.

"Kami mungkin dilihat kerdil di mata negara luar, tetapi kami berjiwa besar. Kami bersama-sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani akan terus mengorak langkah dengan membuka lebih banyak pasaran baharu bagi mencipta lebih banyak kekayaan baharu dalam bidang pertanian. tidak mustahil akan ramai jutawan tani akan dilahirkan di satu masa kelak," katanya.

Saipolbahari berkata, NAFAS mempunyai 800,000 ahli seluruh negara dengan 278 PPK, manakala nelayan seramai 132,305 orang.

"Kerahlah kami, pandulah kami untuk memberikan yang terbaik kepada kepemimpinan Datuk Seri," katanya.

Perdana Menteri, dalam reaksi ringkas ketika menyampaikan ucapan perasmian HPPNK 2017, berkata beliau mengambil maklum sokongan itu dan akan 'memberi isyarat' bila tiba masanya.

"Semua ini telahpun diperjelaskan dengan semangat yang berkobar-kobar sebentar tadi oleh Pengerusi NAFAS, sehingga dia kata kami takkan lupa, kami terima ini dan kami terima itu, arahkan saja kami, kerahkan saja kami, kami akan lakukan apa saja.

"Ini adalah satu kenyataan yang mungkin saya akan memberi isyarat bila sampai pada masanya," katanya.

Berita Harian X