Selasa, 26 September 2017 | 5:15pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (dua dari kiri); Pengarang Urusan, Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa MPB, Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah (kiri) dan Ketua Kumpulan Komunikasi Strategi DRB HICOM, Mahmood Abdul Razak (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama Projek Video Malaysia (PROVIM 2017), Muhammad Faiz Yaakub (dua dari kanan) pada Majlis Penyampaian Hadiah PROVIM 2017 di Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (dua dari kiri); Pengarang Urusan, Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa MPB, Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah (kiri) dan Ketua Kumpulan Komunikasi Strategi DRB HICOM, Mahmood Abdul Razak (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama Projek Video Malaysia (PROVIM 2017), Muhammad Faiz Yaakub (dua dari kanan) pada Majlis Penyampaian Hadiah PROVIM 2017 di Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

Video Negaraku juara PROVIM

KUALA LUMPUR: Video berjudul 'Negaraku' membawa tuah kepada Muhammad Faiz Yaakub, 33, apabila dinobatkan pemenang Projek Video Malaysia (PROVIM 2017).

     Kejayaan itu membolehkan Muhammad Faiz yang juga guru Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Janggut, Pasir Puteh, Kelantan itu membawa pulang kereta Proton Saga 1.3 CVT dan wang tunai RM5,000.

Beliau berkata, video 'Negaraku' ilham daripada kejayaan tiga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, iaitu Abdul Latif Romly, Mohd Ridzuan Mohd Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli.

  "Mesej video ini ialah 'banggakan negara dengan cara tersendiri' dengan menjadikan status orang kurang upaya (OKU) bukan halangan harumkan nama negara pada mata dunia," katanya.

     Program edisi kedua itu anjuran Unit Berita Digital, Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), syarikat i-Berhad, DRB-HICOM, Pelayaran Islamik dan DNC Asiatics Holdings Sdn Bhd.

  Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyampaikan hadiah dalam majlis di Menara SKM, Bukit Damansara, di sini hari ini.

   Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong dan Pengarang Urusan, Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa MPB, Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah.

     Tempat kedua dirai empat sahabat, iaitu Muhammad Alli Zulfaqqar Shafie, Radzi Amin Ramleh, Saifiuddin Zambry dan Firdhaus Rahmat menerusi video berjudul '4 langkah mudah untuk meraikan Hari Kemerdekaan'.

    Mereka menerima dua tiket Pelayaran Islamik ke Pulau Pinang, Phuket dan Krabi di Thailand dan Acheh, Indonesia serta wang tunai RM3,000.

   Tempat ketiga pula disandang Mohd Hanif Zulkifli dengan video bertajuk 'Terbang' yang melayakkan beliau menerima motosikal Demak dan wang tunai RM2,000.

   Sementara itu, Mohd Ashraf berkata, pertandingan bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bertema 'Negaraku' itu memerlukan peserta menghasilkan video pendek dengan tempoh maksimum tiga minit untuk memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara.

     Katanya, video dinilai juri profesional ternama dalam industri perfileman tanah air termasuk Pengarah Filem, Aziz M Osman; Pengarah Filem, Pelakon dan Penyanyi, Yusry Abdul Halim; dan Pengarah Filem serta pelakon, Jason Chong.

    "Sebanyak 635 penyertaan diterima sepanjang 1 Ogos hingga 31 Ogos lalu dan lapan daripadanya layak menerima hadiah termasuk sagu hati," katanya berucap pada majlis berkenaan.

   Salleh pula berkata, PROVIM landasan terbaik untuk membangkitkan semangat cintakan negara dan menangkis penyebaran maklumat palsu menerusi laman sosial.

   Katanya, ketika ini banyak paparan tidak bertanggungjawab menerusi media sosial yang dibimbangi menggugat perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

  "PROVIM anjuran MPB contoh terbaik untuk menangkis tomahan dan dakyah negatif kerana ia membangkitkan semangat cintakan negara. Program murni seperti ini perlu diteruskan," katanya.

Berita Harian X