Ahad, 24 September 2017 | 2:06pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. - Foto Yazit Razali
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. - Foto Yazit Razali

Undi pembangkang risiko kepada negara -PM

KUALA LUMPUR: Struktur kepemimpinan pakatan pembangkang tiada kesepakatan utuh, malah berbeza ideologi politik untuk memerintah negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, memilih pakatan berkenaan untuk mentadbir adalah berisiko kerana akan hanya membawa  ketidakstabilan kepada negara.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, pakatan DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara itu perlu ditolak.

"Politik mereka tak sealiran. Ibarat pepatah Melayu, 'tidur sebantal, mimpi lain-lain'. Saya pasti mimpi Tun Dr Mahathir Mohamad lain, mimpi Lim Kit Siang lain dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pun lain," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MIC, Datuk Seri Dr  S Subramaniam; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas Presiden MIC, Tun Samy Vellu yang juga Duta Khas Infrastruktur ke India dan Asia Selatan.

Sementara itu, Najib berkata, hanya BN merangka agenda pembangunan masyarakat itu menerusi Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang dilancarkan beliau sendiri pada April lalu.

"Pembangkang hanya menghasut kaum berkenaan agar membenci dasar dilaksanakan kerajaan," katanya.

Dari segi perjawatan pula, Perdana Menteri, kaum India tidak ketinggalan dan sentiasa dibela kerana kerajaan mahu berlaku adil kepada semua kaum.

Najib juga mahu MIC menyenaraikan calon boleh menang, berkredibiliti dan berkualiti serta diterima oleh semua kaum pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Katanya, itu prasyarat kepada MIC yang mahu bertanding semua kerusi ditandinginya sebelum ini kerana pada realitinya, tiada satu kawasan pun mempunyai majoriti pengundi masyarakat India.

"Calon mesti diterima semua kaum. Kalau MIC mahu menang, ia juga bergantung kepada sokongan kaum lain juga. Tolong beri saya pemimpin yang bagus dan berkredibiliti," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau melihat semangat ditunjukkan 4,000 anggota MIC termasuk 1,500 perwakilan pada perhimpunan kali ini dan menyifatkan parti itu dalam keadaan kukuh.

Kenyataan itu membuat semua pemimpin tertinggi MIC dan perwakilan berdiri serta memberi tepukan gemuruh kepada Najib.

"MIC sedang melakukan proses perubahan dengan mengikuti langkah yang dimulakan oleh UMNO. Bakal Presiden MIC akan dipilih oleh 42,000 perwakilan, bukan 4,000 ketua cawangan seperti dulu," katanya.

Najib turut mengucapkan taniah kepada Samy Vellu di atas pengurniaan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota, anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran 'Tun', baru-baru ini.

"Sekarang ada Tun Samy. Sekurang-kurangnya Tun Samy sekarang mewakili kaum India dalam (senarai pemimpin dengan) gelaran Tun," katanya.

Berita Harian X