Ahad, 24 September 2017 | 1:34pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam pada Mesyuarat Agung MIC ke-71 MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Yazit Razali
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam pada Mesyuarat Agung MIC ke-71 MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Yazit Razali

Najib tak pernah abai rintihan, masalah masyarakat India - Dr S Subramaniam

KUALA LUMPUR: MIC menyokong penuh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak pernah mengabaikan rintihan dan masalah membelenggu masyarakat India.

Presidennya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata ini kali pertama segala masalah kaum India diberi perhatian serta disusuli tindakan proaktif oleh kerajaan.

Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB), katanya, membuktikan komitmen dan kesungguhan Perdana Menteri selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang amat prihatin terhadap nasib masyarakat India.

Katanya, banyak inisiatif dilaksanakan kerajaan untuk meletakkan masyarakat India seiring dengan arus pembangunan negara.

"Inilah kali pertama seorang Perdana Menteri turun padang melancarkan sebuah pelan tindakan khas untuk masyarakat India di negara ini. Terima kasih kepada Perdana Menteri.

"pelancaran MIB membuka lembaran baharu, nafas baharu dan memberi keyakinan kepada kita membentuk masa depan yang cerah demi generasi akan datang serta mengubah status sosio-ekonomi masyarakat India.

"Ini juga membuktikan keakraban yang terjalin di antara parti komponen BN menerusi hubungan dan setia kawan erat dapat memacu pentadbiran kerajaan sejak merdeka sehingga kini bersandarkan acuan sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung MIC ke-71 MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Selain Najib, yang turut hadir ialah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri SK Devamany dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Bagi membalas budi Perdana Menteri, Subramaniam berkata, MIC akan mengambil langkah drastik bagi mengembalikan keyakinan masyarakat India terhadap BN.

Katanya, MIC akan berusaha agresif untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi memastikan lebih ramai pengundi India kembali mengundi BN, sekali gus menang lebih banyak kerusi.

"MIC komited memastikan BN menang dengan majoriti besar, sekali gus mengekalkan mandat menerajui kerajaan demi menjamin kesejahteraan rakyat," katanya.

Berita Harian X