Jumaat, 22 September 2017 | 12:32pm
SULTAN Kedah, Tuanku Sallehuddin Sultan Badlishah menyampaikan replika cek kepada Tokoh Maal Hijrah Kedah, Datuk Syeikh Hasbullah Abdul Halim (kanan) sambil diperhatikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (dua dari kiri) dan Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Bakar Din pada majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Wisma Darulaman.- Foto Amran Hamid

Jangan penting diri, musnahkan perpaduan - Sultan Kedah

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Tuanku Sallehuddin Sultan Badlishah mengingatkan bahawa sikap mementingkan diri berupaya meruntuhkan tembok kesatuan umat sehingga kuasa dan maruah berharga tergadai.

Baginda bertitah, sikap sedemikian akan membiarkan negara terancam, retak dan hancur.

"Janganlah ada dalam kalangan kita yang bersikap mementingkan diri sendiri sehingga sanggup memusnahkan segala agenda penyatuan dan muafakat yang murni ini.

"Sikap penting diri yang sempit bukan sahaja berupaya meruntuhkan tembok kesatuan yang terbina sekian lama, malah boleh membuatkan seseorang menyerahkan kuasa yang ada dan menggadai maruah berharga." titah baginda.

Tuanku Sallehuddin bertitah demikian pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1439/2017 peringkat negeri, di sini hari ini.

Yang turut berangkat, Sultanah Kedah, Tengku Maliha Tengku Ariff dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tuanku Sallehuddin.

Titah baginda, umat Islam yang menjiwai erti kesatuan umat adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka, berbaik sangka dan saling menghormati tanpa mengira latar belakang bangsa, warna kulit atau fahaman politik berbeza.

"Sedarlah, kita tidak mempunyai tempat lain, selain tanah air yang berdaulat ini. Di sinilah tempat tinggal dan nadi kehidupan kita," titah baginda.

Pada majlis itu, Tuanku Sallehuddin berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah 1439 peringkat negeri kepada bekas Mufti Kedah, Datuk Syeikh Hasbullah Abdul Halim.

Syeikh Hasbullah, 76, yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) menerima wang tunai RM10,000, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

Ejen takaful, Umar Lai Abdullah pula diiktiraf sebagai Tokoh Saudara Kita dan menerima hadiah wang tunai RM5,000, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

Berita Harian X