Jumaat, 22 September 2017 | 11:08am
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diiringi Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (empat dari kanan) berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1439H/2017M Peringkat Negeri Perak di Dewan Shariff, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut. - Foto Muhaizan Yahya

Jadikan hijrah pengajaran, kenal pasti kelemahan - Sultan Nazrin

LUMUT: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu hijrah dijadikan contoh bahawa dalam memenuhi sesuatu misi, manusia perlu bersedia mencari formula baharu untuk mengatasi halangan dan tentangan.  

Titah baginda, hijrah juga hendaklah dijadikan pengajaran bahawa manusia perlu bijak mengenal pasti kelemahan sedia ada dan meneroka kekuatan baharu.

"Hijrah hendaklah dijadikan pedoman, bahawa manusia perlu bersedia melakukan pengubahsuaian serta bersedia menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baharu.  

"Peristiwa hijrah berjaya membina sifat yakin dan berani dalam kalangan umat Islam, lantas memberikan status baharu kepada Islam dan umat Islam," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak di Dewan Shariff Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, hari ini.

Yang turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Sultan Perak bertitah, berlaku enam perubahan penting menerusi peristiwa hijrah.

Pertama, titah baginda, adalah perubahan nasib umat Islam daripada kumpulan kecil yang berada dalam ketakutan diancam musuh kepada umat yang menguasai kuasa serantau di bawah pemimpin berwibawa. 

"Kemudian penyebaran Islam beralih daripada hanya kepada penduduk Arab Makkah yang sangat terbatas kepada penyebaran bersifat universal yang merentasi kaum dan wilayah," titah baginda.  

Baginda bertitah, perubahan ketiga adalah corak dakwah yang dilakukan secara tersembunyi bertukar kepada kegiatan dakwah yang dilakukan secara terbuka.

"Keempat, Islam berkembang daripada agama yang dianuti sekumpulan kecil pengikut kepada sebuah negara Islam yang didukung oleh pelbagai institusi dan organisasi. 

"Kelima, status umat Islam juga berubah daripada keadaan lemah dan dihina kepada umat yang gagah lagi dihormati.

"Keenam, ajaran Islam tidak lagi berbentuk satu ritual ketuhanan, tetapi menjadi satu 'Addin', satu budaya hidup yang diredai, merangkumi politik, ekonomi, interaksi sosial dan setiap lapangan kehidupan, meletakkan Islam sebagai agama yang komprehensif," titah baginda.

Baginda bertitah, hijrah berjaya membangunkan tamadun Islam dan berkembang maju kerana umatnya berani melakukan perubahan dalam pelbagai aspek dan dimensi.

Titah Sultan Perak, Islam tidak akan berkembang jika umatnya berjiwa hamba, berminda abdi, berfikiran fakir dan berpandangan jumud. 

"Islam berkembang dengan minda yang cerdas lagi cergas dan fikiran yang luas lagi terbuka," titah baginda. 

Berita Harian X