Isnin, 18 September 2017 | 2:30pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Adenan Ab Rahman (kanan), Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye (kiri) dan Pengarah Eksekutif NIOSH, Zahrim Osman (dua dari kanan) ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali Ke-20 (COSH2017) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Mohd Fadli Hamzah

Wajibkan audit keselamatan di sekolah

PUTRAJAYA: Institut Keselamatan dan Kesihatan Negara (NIOSH) mencadangkan sekolah di negara ini diwajibkan melakukan audit keselamatan bagi memastikan bangunan dan kawasan sekitarnya selamat untuk guru dan pelajar.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata tempoh audit perlu dilakukan bergantung kepada usia bangunan, seperti bangunan yang berusia lebih 20 tahun, audit tahunan wajar dilakukan.

Katanya, ini antara perkara yang akan dicadangkan kepada pasukan petugas khas selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pembabitan NIOSH sebagai anggota pasukan berkenaan.

"Selain itu, kita juga mencadangkan supaya mewajibkan sekolah untuk mempunyai Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi membincangkan semua perkara berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

"Ia selari dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) yang mewajibkan tempat kerja atau sekolah yang mempunyai lebih 40 pekerja atau orang awam mempunyai jawatankuasa itu," katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan dan Pameran Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali Ke-20 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Lam Thye berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana diberi tanggungjawab dalam pasukan petugas khas berkenaan dan akan memberikan pandangan serta bekerjasama dengan pihak berkenaan berkaitan isu keselamatan di sekolah.

Katanya, NIOSH juga sudah melaksanakan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah (OSH In School) sejak 2015 yang kini disertai lebih 50 sekolah.

"Konsep OSH in School lebih menyeluruh kerana ia melihat sekolah sebagai sebuah premis kerja yang tertakluk di bawah OSHA 1994, yang memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan mereka yang bekerja selain, melindungi mereka yang berada di dalam kawasan tempat kerja.

"Ia juga dapat memupuk kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan guru dan kakitangan sokongan serta murid dan pelajar bagi mempraktikkan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan pada peringkat awal," katanya.

Berita Harian X