Ahad, 17 September 2017 | 2:14pm
KUALA LUMPUR, 17 Sept -- Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) yang juga Menteri Wilayah Persekutuan bersama Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (dua, kiri) dan Pengerusi Badan Perhubungan KIMMA Wilayah Persekutuan Asraf@ Mohaideen Abdul Kadar Mohd Maideen (tiga, kanan) melancarkan Konvensyen Badan Perhubungan KIMMA Wilayah Persekutuan 2017 di Wisma Sejarah hari ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARAAMIRUL AZMI

Tiada warung tepi jalan pada 2020

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan memastikan tiada lagi penjaja tepi jalan menjelang tahun 2020.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata semua peniaga itu akan dipindahkan ke tempat lain atau berniaga menggunakan kenderaan saji.

Katanya, pihaknya juga akan mempastikan tiada lagi peniaga yang memasak di tepi jalan, sebaliknya perlu memasak di tempat lain dan membawa makanan untuk dijual ditempat yang disediakan.

"Ketika ini terdapat ribuan peniaga tepi jalan di Wilayah Persekutuan. Cadangan ini juga akan membabitkan penjaja yang menjual pisang goreng atau nasi lemak di tepi jalan yang akan dipindahkan.

"Kita akan naik taraf peniaga di tepi jalan ini kepada sistem yang berbeza selain akan menyediakan ruang berniaga yang khusus untuk mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan 2017 Badan Perhubungan Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) Wilayah Persekutuan di Wisma Sejarah di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader dan Pengerusi Badan Perhubungan KIMMA Wilayah Persekutuan, Asraf@Mohaideen Abdul Kadar Kamaldin.

Terdahulu, sewaktu berucap, Tengku Adnan turut meminta kepada semua masyarakat India Muslim supaya menjadikan hanya KIMMA sebagai medan untuk mereka bernaung.

Ini disebabkan, katanya, ketika ini pihaknya dapati wujud banyak persatuan yang mahu mewakili India Muslim.

"Saya tidak tahu kenapa kebelakangan ini mahu tubuhkan terlalu banyak persatuan lain. Kenapa tidak KIMMA sahaja, tidak perlu tubuh persatuan itu, persatuan ini.

"Saya percaya KIMMA mempunyai perlembagaan. Begitu juga UMNO dan negara. Kita ikutlah perlembagaan, jangan ikutkan hati.

"Tolonglah beritahu kepada rakan-rakan India Muslim, cukuplah. Di bawah naungan KIMMA kita perbaiki dan perkuatkan KIMMA, bersatu di bawah panji KIMMA, apa yang India Muslim minta akan dapat kerana bersatu itu teguh bercerai roboh," katanya.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, pihaknya menyokong cadangan kerajaan mahu memindahkan peniaga tepi jalan ke ruang niaga yang disediakan.

Katanya, ia berikutan, peniaga tepi jalan mengundang risiko dari segi kesihatan selain mengganggu lalu lintas.

INFO

1976 - KIMMA ditubuhkan

174,000 ahli

Berita Harian X