Jumaat, 15 September 2017 | 11:49pm
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada majlis perasmian Anugerah Dinar Emas 2017 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan India Muslim Malaysia (MIMCOIN) di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Supian Ahmad

Usahawan India Muslim digesa terokai pasaran antarabangsa

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usahawan India Muslim digesa untuk menerokai pasaran antarabangsa dalam usaha meluaskan 'jajahan' perniagaan mereka supaya tidak tertumpu secara domestik sahaja.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, mahu mereka mempelbagai sasaran dengan menjalinkan hubungan perniagaan dengan usahawan bukan India Muslim di luar negara.

Beliau berkata, usaha itu perlu dalam usaha menambahbaik imej Malaysia di peringkat antarabangsa kerana apa yang kita lakukan demi tanah air tercinta.

Katanya, bukan sahaja usahawan India Muslim, rakyat Malaysia yang berkecimpung dalam perniagaan juga perlu mengangkat produk mereka ke tahap yang lebih tinggi sekali gus mempromosikan produk dan nama Malaysia di persada global.

"Kita tak nak lihat satu marketplace (pasaran) kita mahu lihat marketspace (ruang pasaran) iaitu perluasan pasaran seperti apa yang dilakukan oleh (Tan Sri) Tony Fernandes. Ikut jejak langkah beliau berada di peringkat antarabangsa.

"Sebanyak 64 bidang keusahawanan telah diceburi ahli MIMCOIN. Permulaan panjang telah beri keberhasilan yang membanggakan sekali gus mengukir track record (rekod prestasi) baik.

"Dengan usaha itu, saya yakin suatu hari nanti, harapan saya mahu lihat ada tokoh-tokoh dalam kalangan usahawan India Muslim di negara ini dapat jadi billionair," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Anugerah Dinar Emas 2017 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan India Muslim Malaysia (MIMCOIN) di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Bank Rakyat di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden MIMCOIN, Datuk Jamarul Khan Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Selain itu, Ahmad Zahid mahu semua usahawan tidak kira India Muslim memegang kata keramat iaitu di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa komited di atas sokongan tidak berbelah bahagi oleh masyarakat India Muslim.

"Kerajaan sediakan skim khas dalam bidang ekonomi demi memartabatkan kaum India amnya. Ini adalah komitmen kita untuk menjaga kesejahteraan masyarakat India Muslim juga," katanya.

Anugerah yang masuk penganjuran edisi kedua tahun ini dihadiri bertujuan memberi pengiktirafan kepada kejayaan usahawan India Muslim tempatan.

Dalam majlis sama, Jamarul berkata, beliau berharap masyarakat India Muslim di negara ini memberi sepenuh keyakinan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara ini.

Berita Harian X