Jumaat, 15 September 2017 | 8:31pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyiram air mawar di atas pusara Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Makam Diraja Langgar, Alor Setar. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyiram air mawar di atas pusara Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Makam Diraja Langgar, Alor Setar. - Foto BERNAMA

Almarhum Sultan Abdul Halim contoh terbaik Raja Berperlembagaan

ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyifatkan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai contoh terbaik seorang Raja dalam konsep Raja Berperlembagaan di negara ini.

Perdana Menteri berkata, komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan Almarhum Sultan Abdul Halim yang pernah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali sebelum ini, dalam urusan negara serta rakyat amat disanjung tinggi.

"Saya sentiasa menghormati Almarhum baginda sebagai seorang Raja yang sangat disayangi rakyat dan boleh dianggap sebagai contoh terbaik dari segi peranan seorang raja berdasarkan perlembagaan.

"Komitmen dan dedikasi Tuanku dalam urusan negara dan rakyat adalah sangat disanjung tinggi jadi pada rakyat Malaysia, Kedah dan diri saya ia adalah satu kehilangan besar, " katanya selepas menziarah makam Almarhum Sultan Abdul Halim di Makam Diraja Langgar, dekat sini tadi.

Perdana Menteri bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menziarah makam Almarhum Sultan Abdul Halim sebaik tiba di negara ini, selepas mengadakan lawatan kerja ke Washington, Amerika Syarikat sejak Selasa lalu.

Pada masa sama, Najib berkata, beliau bukan sahaja menganggap Almarhum Sultan Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong sebelum ini tetapi sudah dianggap seperti ayahanda sendiri berikutan hubungan keluarga yang baik dijalin sejak zaman bapanya, Tun Abdul Razak Hussein menjadi Perdana Menteri kedua.

"Almarhum dengan saya begitu akrab sekali dan sentiasa memandang berat bukan saja urusan kerajaan tapi segala berhubung soal peribadi dan keluarga, " katanya.

Berita Harian X