Selasa, 12 September 2017 | 4:05pm
JULAINI Mohd Salleh pada sesi pembentangan mengenai wakaf di Dialog Pangkor 2017, Pusat Konvensyen Aman Jaya, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya
JULAINI Mohd Salleh pada sesi pembentangan mengenai wakaf di Dialog Pangkor 2017, Pusat Konvensyen Aman Jaya, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

Dialog Pangkor: Tanah wakaf terbiar

IPOH: Tanah wakaf bernilai jutaan ringgit masih terbiar kerana majlis agama Islam negeri sebagai pemegang amanah aset berkenaan, tidak memiliki dana mencukupi dan kepakaran bagi membangunkannya.

Perunding Waqaf, Datuk Julaini Mohd Salleh, berkata ini mengakibatkan potensi tanah berkenaan yang mampu menjana pendapatan berbilion-biloan ringgit jika dibangunkan, tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan ummah dan pewakaf.

"Jika mahu bekerjasama dengan pemaju hartanah agak sukar kerana mereka biasanya bersikap memilih. Tambahan pula tanah wakaf kurang menarik daripada sudut komersial kerana jika dibina rumah, pembeli rumah itu tidak dapat geran hak milik (individu)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel pada Sidang Pleno mengenai Wakaf pada Dialog Pangkor 2017, di sini hari ini.

Tiga lagi ahli panel ialah Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Bhd, Datuk Adissadikin Ali; Pengarah Eksekutif Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA), Prof Dr Mohamad Akram Laldin dan Pensyarah Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Sharifah Zubaidah Abdul Kader.

Sidang pleno itu dipengerusikan oleh Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Kerjasama Antarabangsa Bahagian Awqaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri, Mohd Faizal Ab Hamid.

Julaini sehubungan itu mencadangkan agar Kanun Tanah Negara yang masih mengikut undang-undang Inggeris, digubal bagi membolehkan isu tanah wakaf dapat ditangani pada peringkat pusat dan bukan dikuatkuasakan hanya di peringkat negeri seperti amalan sekarang.

Beliau memberi contoh di Singapura apabila undang-undang tanah di negara itu digubal yang membolehkan tanah wakaf di negara itu dapat diuruskan dengan cekap.

Sementara itu, Adissadikin berkata, pembangunan tanah wakaf sangat baik kerana ada institusi perbankan Islam yang boleh membantu menerusi beberapa kaedah instrumen kewangan Islam.

Mohamad Akram pula berkata, ISRA sudah membangunkan beberapa model pengurusan wakaf bagi membolehkan aset itu dibiayai dan diuruskan akan dibentangkan pada peringkat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, antara instrumen utama dalam model berkenaan ialah pengeluaran sukuk untuk wakaf yang agak berbeza dengan sukuk sedia ada kerana sukuk wakaf memerlukan pelabur yang memberi keutamaan terhadap amal jariah.

Sharifah Zubaidah pula menyifatkan wakaf tunai sebagai yang terbaik untuk diuruskan dan memberi amal jariah kepada pendermanya kerana tidak semua orang memiliki tanah untuk diwakafkan.

Berita Harian X