Isnin, 11 September 2017 | 2:11pm

Jawab UPSR dengan rakam suara


GURU pengawas peperiksaan, Nur Suliani Md Ghani (kiri) membantu Nur Ain Hidayah menulis jawapan pada kertas soalan Bahasa Melayu UPSR di Hospital Sultanah Nur Zahirah hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hari ini terpaksa menggunakan rakaman suara untuk menjawab soalan kerana tidak dapat menulis, selepas urat tangannya hampir putus akibat terkena kaca.

Murid Sekolah Kebangsaan Maras, Kuala Nerus, Nur Ain Hidayah Ngah, 12, terpaksa menduduki peperiksaan itu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Ibunya, Faridah Abu Bakar, 40, berkata anaknya cedera di tangan kanan akibat dimasuki kaca tingkap yang pecah ketika mahu menutupnya di rumah mereka di Kampung Maras, Batu Rakit, Kuala Nerus, petang Ahad minggu lalu.

"Nur Ain Hidayah sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas dua hari ditahan di wad, namun disebabkan perlu menduduki UPSR, dia diminta masuk semula ke hospital ini.

"Anak saya masih tidak boleh menggunakan tangannya. Jadi, kaedah menjawab soalan ialah dengan menggunakan rakaman suara, manakala jawapan akan ditulis oleh guru bertugas.

"Meskipun dia terpaksa menduduki UPSR di hospital, Nur Ain Hidayah tetap bersemangat dan tidak menjadikan kecederaan itu sebagai halangan kepadanya," katanya ketika ditemui di HSNZ.

Nur Ain Hidayah seorang daripada empat calon yang terpaksa menduduki peperiksaan UPSR di HSNZ akibat masalah kesihatan.

Dua lagi calon menduduki peperiksaan itu di Hospital Dungun.

Faridah berkata, dengan semangat ditunjukkan, beliau berharap anak ketujuh daripada 10 beradik itu mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR.

Sementara itu, di Kota Bharu, seorang murid Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang juga pesakit barah otot tahap tiga terpaksa menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini, hari ini.

Mohamad Najmee Rosidi, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sarang Tiong, Rompin, Pahang, dimasukkan ke HUSM pada 17 Ogos lalu selepas mengalami dehidrasi sesudah tiga hari menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Rompin, Pahang.

Ketika ditemui di HUSM, Mohamad Najmee berkata, sejak dimasukkan ke hospital, ayah dan ibunya, Rosidi Saad, 44, dan Fazilawati Md Isa, 35, terpaksa menemani dia setiap hari.

"Disebabkan penyakit yang dikesan pada Februari lalu, saya mengambil keputusan melupakan persekolahan kerana perlu berulang alik dari rumah di Rompin ke HUSM di sini bagi menjalani rawatan kimoterapi tiga minggu sekali.

"Walaupun perlu mengulang kaji pada saat akhir, namun saya nekad menduduki UPSR dan tidak mahu memikirkan sangat hal sakit kerana mahu berjaya seperti rakan lain," katanya.

Mohamad Najmee berkata, dia sedaya upaya menjawab kertas soalan Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan dengan sebaik mungkin, hari ini.


DI Terengganu, sebanyak 363 pusat ujian dibuka untuk 20,273 calon UPSR di negeri ini. Malah, seramai enam calon terpaksa menduduki peperiksaan di hospital kerana pelbagai masalah kesihatan. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Berita Harian X