Isnin, 11 September 2017 | 9:19am
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid diiringi Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul meninjau calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya, Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

UPSR diteruskan guna sistem PBS

KOTA KINABALU: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) masih relevan dalam sistem pendidikan negara dan akan diteruskan selagi sesuai untuk menilai pencapaian murid.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata melalui format UPSR menggunakan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang mula dilaksanakan sejak tahun lalu, murid bukan sahaja dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata.

Sebaliknya, katanya, murid turut dinilai oleh guru dengan kriteria lain seperti Pentaksiran Psikometrik (Ppsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan serta Kokurikulum (PAJSK).

"UPSR masih berjalan... kita masih meneruskan peperiksaan ini hingga selesai perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan termasuk ibu bapa, ahli akademik, golongan profesional  dan banyak pihak lain.

"Ini kerana kalau kita nak membuat apa-apa keputusan luar biasa (memansuhkan UPSR), bukan mudah, perlu kajian terperinci... (ketika ini) UPSR akan diteruskan hingga masa yang sesuai," katanya kepada media selepas meninjau perjalanan hari pertama UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gaya di sini, hari ini.

Beliau diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof; Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul dan Guru Besar SK Seri Gaya, Alhazmi Abdullah.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, melalui sistem PBS, pemarkahan dinilai secara holistik dan selari dalam sistem penentuan pelajar untuk memasuki sekolah menengah khususnya sekolah berasrama penuh (SBP) iaitu berdasarkan pencapaian murid secara menyeluruh.

Sementara itu, beliau meminta semua sekolah dapat menguruskan peperiksaan UPSR yang bermula hari ini dengan lancar sehinggalah selesai pada 18 September ini.

"Kita harap tiada perkara tak diingini sepanjang peperiksaan misalnya berkaitan keselamatan murid atau musibah seperti banjir.

"Lebih saya harap ibu bapa dan waris dapat memastikan anak dan jagaan mereka dapat hadir ke sekolah untuk mengambil peperiksaan mengikut jadual ditetapkan," katanya.

Seramai 443,794 calon menduduki UPSR 2017 mulai hari ini hingga 18 September dengan 433,536 daripadanya calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, manakala 10,258 murid adalah calon sekolah swasta.

Sebanyak 8,085 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negara, membabitkan seramai 51,363 petugas peperiksaan.

Di Sabah, seramai 44,290 calon menduduki UPSR di 1,088 pusat peperiksaan.

Berita Harian X