Ahad, 10 September 2017 | 5:01pm
SULTAN Ibrahim (kanan) mengaminkan doa yang dibaca oleh Mohd Zaini pada pelancaran replika tukun tiruan terbesar dan logo Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di Pulau Mensirip. - Foto Kelab Media Johor
SULTAN Ibrahim (kanan) berkenan melancarkan replika tukun tiruan terbesar dan logo Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di Pulau Mensirip. - Foto Kelab Media Johor
SULTAN Ibrahim (kiri) berkenan melancarkan replika tukun tiruan terbesar dan logo Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di Pulau Mensirip. Turut bersama Yang Dipertua MPJBT, Adib Azhari Daud. - Foto Kelab Media Johor

Kadi baca doa di dasar laut

MERSING: Pelancaran replika tukun tiruan terbesar dan logo Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di Pulau Mensirip, dekat sini yang disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, mencatatkan sejarah tersendiri apabila doa dibaca oleh kadi di dasar laut.

Kadi Daerah Mersing, Mohd Zaini Mohd Salleh, yang menjadi satu-satunya kadi di Malaysia yang mempunyai lesen skuba, mengetuai bacaan doa sebelum Sultan Ibrahim menandatangani plak pelancaran replika tukun tiruan terbesar dan melancarkan logo Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di dasar laut.

Mohd Zaini, 48, berkata, beliau teruja kerana berpeluang bukan sahaja membacakan doa ketika menyelam tetapi lebih manis, ia dilakukan dihadapan Sultan Johor.

"Ia peluang yang jarang diperoleh dan saya syukur berjaya dilaksanakan dengan sempurna ditambah dengan keadaan laut yang tenang ketika itu.

"Saya mula berlatih sejak Mei lalu bagi memastikan kelancaran bacaan doa semasa majlis berlangsung, namun saya mengakui terdapat perbezaan membacakan doa di darat dan juga ketika di dasar laut.

"Perbezaan baca di darat dan laut adalah kita guna alat pernafsan, itu menghalang kelancaran kerana membaca atas darat tiada halangan, doa seperti biasa tetapi di dalam laut saya hanya guna lidah sahaja," katanya ketika ditemui di sini selepas program berkenaan.

Mohd Zaini turut mengenakan kelengkapan menyelam sebelum terjun ke dasar pulau bersama-sama Sultan Ibrahim.

Peluang belajar menyelam dan mempunyai lesen skuba itu juga menjadikan kegiatan menyelam skuba sebagai hobi baru kepada Mohd Zaini.

"Sebelum ini saya berlatih menyelam dan mendapat lesen skuba untuk menyertai program hari ini. Selepas menyertai skuba, saya mula berminat dan akan menjadikannya sebagai hobi saya," katanya.

Berita Harian X