Ahad, 10 September 2017 | 12:49pm
PENGARAH Yayasan EcoWorld, Tan Sri Lee Lam Thye (tiga dari kiri) diiringi Pengerusi Eco World Development Group Berhad, Tan Sri Liew Kee Sin (empat dari kiri) merasmikan program #AnakAnakMalaysia Johor Walk, di EcoWorld Gallery @ Eco Spring dan Eco Summer, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini
PENGARAH Yayasan EcoWorld, Tan Sri Lee Lam Thye (tiga dari kiri) diiringi Pengerusi Eco World Development Group Berhad, Tan Sri Liew Kee Sin (empat dari kiri) merasmikan program #AnakAnakMalaysia Johor Walk, di EcoWorld Gallery @ Eco Spring dan Eco Summer, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Lebih 3,000 sertai #AnakAnakMalaysia Johor Walk

JOHOR BAHRU: Acara jalan kaki #AnakAnakMalaysia Johor Walk 2017 yang berlangsung di Perkarangan EcoWorld Gallery @ Eco Spring dan Eco Summer, di sini, menarik penyertaan lebih 3,000 pengunjung.

Acara yang memasuki kali ketiga tahun ini bertujuan mendidik masyarakat khususnya berbilang kaum mengenai kepentingan dalam mempromosikan perpaduan, keharmonian dan toleransi.

Pengerusi Penganjur merangkap Pengarah Yayasan EcoWorld, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perbezaan bangsa, agama dan latar belakang bukan penghalang untuk rakyat negara ini bersama-sama meraikan perpaduan dan keharmonian menerusi kempen #AnakAnakMalaysia 2017.

Katanya, program itu antara inisiatif pihaknya dalam usaha memberi sokongan menerusi perkongsian maklumat dengan komuniti, sekali gus memupuk semangat patriotisme dan saling mempercayai dalam kalangan masyarakat.

"Berikutan sambutan menggalakkan sempena bulan kemerdekaan pada acara sama di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Ogos lalu, kempen ini diteruskan ke negeri Selatan sebagai usaha menyatukan lebih ramai rakyat Malaysia untuk berkumpul dan meraikan Hari Malaysia menjelang 16 September ini.

"Badan korporat lain digalakkan untuk turut sama menjayakan program seumpama ini sebagai usaha memupuk semangat patriotik, selain memberi peluang kepada masyarakat dari pelbagai latar belakang untuk bersama menyertai dan merapatkan hubungan sesama sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan program #AnakAnakMalaysia Johor Walk, di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eco World Development Group Berhad, Tan Sri Liew Kee Sin.

Berita Harian X