Khamis, 7 September 2017 | 10:56pm
SEBAHAGIAN daripada 120 calon UPSR bersama ibu bapa, pada Program Tahlil dan Doa Selamat sempena peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula Isnin ini anjuran Media Prima Berhad di Sekolah Kebangsaan Cherating. - Foto Farzul Hafiz Awang

Media Prima bantu 120 calon UPSR

KUANTAN: Inisiatif Media Prima Berhad (MPB) membantu 120 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating dekat sini membuat persediaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dihargai kerana dapat meningkatkan taraf pendidikan di luar bandar.

Guru Penolong Kanan Kurikulum dan Pentadbiran SK Cherating, Mazalina Mohamad, berkata sekolah itu beruntung dipilih sebagai sekolah angkat sejak dua tahun lalu kerana mendapat pelbagai manfaat antaranya penajaan seminar pendidikan, kem motivasi dan peralatan pembelajaran.

Katanya, antara tajaan diperoleh adalah sisipan akhbar BH iaitu DIDIK yang digunakan calon UPSR serta guru pada pembelajaran dalam bilik darjah dan ia banyak membantu untuk meningkatkan tahap pengetahuan serta teknik menjawab soalan dengan betul.

"Turut diadakan Seminar Bimbingan Peperiksaan oleh Unit Pendidikan BH yang dikendalikan panel berpengalaman dan kelas bahasa Inggeris menerusi program bahagian Akhbar dalam Pendidikan (NIE) dianjurkan New Straits Times (NST).

"Malam ini Media Prima Berhad bersama-sama dengan sekolah menganjurkan program berbentuk keagamaan iaitu bacaan doa selamat dan solat hajat supaya calon UPSR dari SK Cherating memperoleh kejayaan pada peperiksaan itu," katanya ditemui pada Majlis Restu Ilmu dan Solat Hajat di sini, malam ini.

Bacaan doa selamat serta solat hajat yang diketuai Imam Masjid Cherating, Mustafa Yusof berkenaan disertai lebih 200 orang terdiri daripada guru, ibu bapa dan murid.

Mengulas lanjut, Mazalina berkata, pihaknya menghargai bantuan MPB dalam membantu calon UPSR dan berharap kerjasama berkenaan dapat diteruskan pada masa depan kerana manfaat besar diperoleh sekolah itu.

"Ini kerana di sekitar Cherating tiada kelas tuisyen disediakan dan murid hanya bergantung kepada sekolah semata-mata bagi meningkatkan taraf pendidikan, apabila Media Prima tampil membantu ia dapat mengurangkan beban sekolah.

"Kita dapati inisiatif dan program pendidikan dikendalikan Media Prima banyak membantu SK Cherating dan secara tidak langsung meningkatkan taraf pendidikan di luar bandar," katanya.

Berita Harian X