Ahad, 3 September 2017 | 6:16pm
MOHAMAD Rafiq Zainol Abidin, (tiga kanan) ditemani keluarganya pada hari pendaftaran pelajar baru Universiti Malaya sesi 2017/2018 di Universiti Malaya. - Foto Nurul Shafina Jemenon

UM pilihan pelajar OKU

Kuala Lumpur: Universiti Malaya mencatatkan peningkatan jumlah kemasukan pelajar baharu  peringkat ijazah pertama bagi sesi pengajian 2017/2018 yang bermula semalam, termasuk pertambahan siswa orang kurang upaya (OKU).

Seramai 4,163 mahasiswa baharu termasuk 18 daripada mereka OKU yang cacat penglihatan, pendengaran dan Autisme, mendaftar semalam, meningkat 19 peratus berbanding 3,503 pada tahun lalu.

 

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa merangkap Pemangku Naib Canselor UM, Prof Dr Awang Bulgiba Awg Mahmud, berkata kemudahan dan suasana universiti itu yang mesra OKU adalah faktor utama mendorong siswa OKU memilih  melanjutkan pelajaran di universiti tertua negara itu.

 

"Kami bangga dengan semua kemudahan yang disediakan untuk mahasiswa OKU, kerana tidak semua institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di negara ini  menyediakan kemudahan yang holistik kepada kumpulan pelajar terbabit.

 

"Di UM, kami memberi perhatian yang sewajarnya kepada penuntut OKU. Kelengkapan bilik belajar khas di kolej, laluan khas pejalan kaki cacat penglihatan dan van khas turut disediakan untuk memudahkan urusan mereka." katanya dalam sidang media, selepas taklimat bersama ibu bapa di Kolej Kediaman Za'ba (KK7), di sini, semalam.

 

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Akdemik (HEPA) UM, Prof Datuk Dr Rohaya Yusof dan Pengetua KK7, Dr Samsur Rijal Yahaya.

 

UM menawarkan 4,163 pengambilan bagi sesi berkenaan yang terdiri daripada 2657 mahasiswi dan 1506 mahasiswa.

 

Awang Bulgiba berkata, UM menerima lebih 40,000 permohonan, namun hanya 4,163 calon layak melanjutkan pelajaran mereka ke universiti itu.

 

Sementara itu, mahasiswa OKU yang ditemui, teruja dengan peluang menjadi warga baharu UM.

 

Siswa OKU, Amer Hakimi Zulfikli, 20, yang menghidap masalah lemah anggota kaki, berkata, dia amat teruja kerana impian untuk menjadi mahasiswa UM tercapai.

 

"Melanjutkan pelajaran ke UM adalah impian sejak kecil. Ketika mengisi borang pendaftaran atas talian, saya meletakkan UM sebagai universiti pilihan pertama. 

 

"Meskipun teruja, namun saya berasa agak bimbang kerana ini pertama kali berjauhan dengan keluarga. Kini saya perlu lebih berdikari dan menguruskan diri sendiri tanpa bantuan keluarga." katanya.

Teh Yong Shing, 22, yang cacat penglihatan, berkata kemudahan infrastruktur universiti itu yang mesra OKU mendorong dia memilih untuk melanjutkan pelajaran di situ.

 

"Ketika di sekolah dulu, guru dan rakan banyak bercerita berkenaan kemudahan untuk pelajar OKU di UM. Saya kagum mendengar cerita yang disampaikan kerana tidak semua universiti ada kemudahan untuk pelajar OKU. Sejak itu, saya bercita-cita untuk belajar di sini,

 

"Apa yang menjadi cabaran bagi saya adalah untuk membiasakan diri dengan tempat baharu dan kemudahan yang ada. Pastinya saya akan ambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri." katanya.

 

Selain jumlah mahasiswa oku yang ramai, kehadiran dua pasangan kembar turut menjadi perhatian umum pada sesi pendaftaran kali ini.

 

Pasangan kembar, Nursharinni dan Nursharinna Syahrial, 20, serta pasangan Nursufina Natasha dan Nursufina Nasiha Roslee 19, teruja kerana dapat melanjutkan pelajaran bersama.

 

"Saya dan adik (Nur Sharina) tidak pernah berpisah sejak kecil. Dari sekolah rendah sehingga kini kami sentiasa bersama, malah mengambil bidang yang sama iaitu seni tarian.

 

"Namun kali ini kami terpaksa berjauh seketika, kerana saya dan adik ditempatkan di bilik yang berbeza." kata Nursharinni yang mengikuti program pangajian Sarjana Muda Tari bersama adiknya. 

 

Manakala, Nursufina Natasha dan kembarnya Nursufina Nasiha, gembira dapat mengikut jejak kakak dan bapanya yang pernah menuntut di UM.

 

"Kami teruja kerana legasi menjadi penuntut di UM dapat diteruskan. Malah kami tidak kisah berjauhan dengan keluarga."

 

"Malah, detik ini menjadi sejarah buat kami berdua yang tidak pernah perpisah kerana kami ditawarkan dua bidang yang berbeza dan ditempatkan dibilik yang berbeza." kata mereka.

 

INFO:

# Seramai 241 pelajar antarabangsa dari 35 negara mendaftar di UM.

# Peningkatan 19 peratus bilangan pelajar baharu.

# 12 kolej kediaman bagi penempatan pelajar baharu.

 

-end-

 

Berita Harian X