Ahad, 3 September 2017 | 2:55pm

Semarak Korban BHB, BH meriah

TANJUNG KARANG: Selepas kejayaan dua program Semarak Korban, kumpulan BIMB Holdings Berhad (BHB) sekali lagi bekerjasama dengan BH menganjurkan Program Semarak Korban di Surau Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru.

Kampung Sungai Kajang Baru terpilih pada tahun ini bagi meraikan sambutan Aidiladha bersama masyarakat Jawa, di sini.

Ketua Pegawai Syariah Kumpulan BIMB Holdings Berhad, Mohd Nazri Chik, berkata dua ekor lembu disumbangkan kepada penduduk kampung dan penduduk juga menyumbangkan seekor lagi lembu untuk program sama.   

"Pihak BIMB Holdings Berhad menaja sebanyak RM53,000 kepada BH bagi penganjuran program ini dan tambahan RM30,000 bagi kos perlaksanaan program. 

"Selain itu, kami juga menyerahkan sumbangan berjumlah RM7,400 dari BIMB Holdings Berhad dan Bank Islam untuk diagihkan kepada  penerima dalam kalangan asnaf, anak yatim, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal.," katanya.

Selain BIMB Holdings Berhad dan BH, program kali ini juga dijayakan oleh Bank Islam Malaysia Berhad, ahli jawatankuasa Surau Nurul Huda dan penduduk Kampung Sungai Kajang Baru.

Yang turut hadir, Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan BIMB Holdings Berhad, Wan Norkhairi Wan Samad.

Mohd Nazri berkata, pihaknya turut menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM5, 000 kepada Surau Nurul Huda, selain penduduk dijamu dengan pelbagai juadah yang disediakan oleh penduduk dan kakitangan BIMB Holdings Berhad serta BH.

Beliau berkata, selain di Kampung Sungai Kajang Baru, program sama turut dijalankan hari ini dan esok di satu lagi lokasi di Tanjung Karang, di Selangor; Kuala Rompin, Pahang; Bintulu, Sarawak; Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan Klinik Cure & Care di Tampoi, Johor Bahru, Johor. 

Setiap lokasi menerima sumbangan antara dua hingga tiga ekor lembu.

Pada masa sama, Mohd Nazri berkata, pihak BIMB Holdings Berhad juga menganjurkan bengkel smart solat dan bengkel matematik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk Tahun 4 hingga Tahun 6, yang dikendalikan BH.

Sementara itu, Ahmad Zaini berkata, program Semarak Korban yang diadakan itu adalah kali ketiga diadakan dengan kerjasama antara BH dan BIMB Holdings Berhad.

"BH amat berterima kasih atas kerjasama BIMB Holdings Berhad. Selain menghimpunkan penduduk Kampung Sungai Kajang Baru untuk bergotong-royong bagi menjayakan program korban dan menyemarak serta menegakkan syiar Islam, kita juga menjalin kerjasama dan merapatkan silaturahim penduduk kampung dengan pihak swasta.

"Bank Islam juga adalah rakan strategik tetap kita. Saya difahamkan jalinan kerjasama strategik antara BH dan Bank Islam akan terus dikekalkan pada masa akan datang, " katanya.

DATUK Ahmad Zaini Kamaruzzaman (tiga kanan) bersama Ketua Pegawai Syariah Kumpulan BIMB Holdings Berhad, Ustaz Mohd Nazri Chik (kanan) dan penduduk setempat melapah daging korban sempena program Semarak Korban BIMB Holdings Berhad dan Berita Harian di Surau Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru, Tanjung Karang. - Foto Muhammad Sulaiman
KANAK-KANAK mengikuti program bimbingan matematik sempena Program Semarak Korban BIMB Holdings Berhad dan Berita Harian di Surau Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru, Tanjung Karang. - Foto Muhammad Sulaiman
KAUM wanita rewang sempena program Semarak Korban anjuran BIMB Holdings Berhad bersama Berita Harian di Surau Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru, Tanjung Karang. - Foto Muhammad Sulaiman
Berita Harian X