Rabu, 30 Ogos 2017 | 2:11pm

Rumah 'bersalut' Jalur Gemilang

SEREMBAN: Semangat patriotik dalam diri menyebabkan seorang anggota polis menghias rumahnya dengan 800 Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-60.

Koperal Zulkarnain Kasmuri, 54, berkata setiap tahun, beliau tidak akan melepaskan peluang menghias sudut rumahnya dengan bendera, termasuk pada basikal antik, pasu bunga dan sangkar burung.

Katanya, semangat itu disemai sejak kecil oleh arwah bapanya, Kamsuri Hasan, terhadapnya dan 14 adik-beradik lain.

"Setiap bulan kemerdekaan, arwah ayah akan memasang bendera walaupun hanya satu sebagai simbolik cintakan tanah air.

"Dia juga sentiasa berpesan supaya menghargai pejuang terdahulu yang bersusah payah memperjuangkan kemerdekaan negara.

"Semangat itu diteruskan kami adik-beradik. Wajib pasang bendera di rumah masing-masing setiap bulan kemerdekaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Pelangi, Sikamat, di sini.

Beliau yang bertugas di Balai Polis Chembong, Rembau berkata, isterinya, Zanariah Yusof, 49, serta lima anak juga menyokong dan membantu menghias setiap sudut rumah mereka dengan Jalur Gemilang.

"Saya seronok dapat hiaskan rumah dengan bendera negara...terkenang zaman kanak-kanak. Setiap tahun juga saya akan mencipta kelainan," katanya yang turut menggunakan bahan terbuang untuk tujuan itu.

Lebih menggembirakan, katanya, suasana itu turut membuatkan jirannya juga bersemangat untuk menghias rumah mereka dengan Jalur Gemilang bagi menceriakan sambutan Hari Merdeka.

ZULKARNAIN menghias basikal lamanya dengan Jalur Gemilang. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan
ZULKARNAIN di hadapan rumahnya yang di penuhi Jalur Gemilang di Taman Pelangi, Sikamat, Seremban. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan
SETIAP tahun Zulkarnain tidak akan melepaskan peluang menghias sudut rumahnya dengan bendera, termasuk pada basikal antik, pasu bunga dan sangkar burung. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan
SEMANGAT patriotik Zulkarnain disemai sejak kecil oleh arwah bapanya, Kamsuri Hasan. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan
Berita Harian X