Selasa, 29 Ogos 2017 | 9:24pm

Bank Islam sumbang 10,000 beg troli kepada jemaah haji

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyumbang 10,000 beg troli bernilai RM429,000 kepada jemaah haji Malaysia tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin, berkata sumbangan itu adalah komitmen bank sebagai agensi yang sudah bersama Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai rakan korporat selama 14 tahun. 

"Kami berharap sumbangan beg troli itu akan sedikit sebanyak membantu serta memudahkan mobiliti semua jemaah yang menerimanya untuk menunaikan ibadah haji," katanya dalam satu kenyataan.

Sejak 2003, BIMB telah menyumbang lebih RM3.1 juta dalam bentuk wang tunai dan barangan untuk jemaah haji, sebagai inisiatif untuk bank itu mengembangkan aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya.

Terdahulu, BIMB bersama TH meraikan seramai 483 bakal haji yang juga kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia yang berlepas ke Makkah, dalam Majlis Pelepasan Jemaah Haji Musim 1438H di Bangunan Tabung Haji Kelana Jaya hari ini.

Majlis yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi TH, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani itu dimulakan dengan taklimat ringkas kepada bakal haji, sebelum mereka berangkat ke Makkah sambil diiringi bacaan doa selamat.

Kumpulan terakhir itu adalah antara 30,200 jemaah haji negara yang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, tahun ini.

Sementara itu, BIMB akan mengadakan Program Amal Ihtimam Korban Bank Islam 2017/1438H sempena Aidiladha di enam majlis korban seluruh negara.

Program itu akan diadakan di Kampung Sungai Buring di Tanjung Karang, Selangor; Taman Desa Sena di Tasek Gelugor, Pulau Pinang; Penjara Seremban, Negeri Sembilan; Pusat Pemulihan Dadah Tampoi di Johor Bahru, Johor; Kampung Sepakat di Rompin, Pahang dan Kampung Kuala Segan di Bintulu, Sarawak.

Menerusi program itu, Bank Islam menyumbang 20 ekor lembu hasil penyertaan kakitangan dan pelanggannya serta penduduk setempat, selain dana zakat berjumlah RM39,000 kepada 100 asnaf, masjid dan surau di kawasan berkenaan.

Berita Harian X