Isnin, 28 Ogos 2017 | 1:20pm

Yayasan Hasanah perkasa bidang pendidikan, seni budaya dan warisan

SHAHIRA bersama pelajar SMK Taman Johor Jaya 2, Johor Bahru sempena minggu 'Teach for Malaysia' baru-baru ini.
SHAHIRA bersama pelajar SMK Taman Johor Jaya 2, Johor Bahru sempena minggu 'Teach for Malaysia' baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Yayasan Hasanah terus komited melaksanakan pelbagai program bagi memperkasakan kesejahteraan rakyat terutama dalam bidang pendidikan, pembangunan komuniti dan seni budaya serta warisan.

Selain tiga bidang itu, dua lagi teras utama yang menjadi fokus Yayasan Hasanah ialah alam sekitar dan ilmu pengetahuan.

Pengarah Urusannya, Shahira Ahmed Bazari, berkata selepas dua tahun menjadi entiti bebas, yayasan itu bercadang meningkatkan pemerkasaan program strategik sedia ada, selain melaksanakan lebih banyak program jangka panjang baharu.

Fokus pelbagai bidang

"Sebelum ini, kami lebih memfokuskan kepada sektor pendidikan dengan 60 peratus daripada agihan dana disalurkan ke bidang itu pada tahun lalu.

"Sepanjang 2016, kami banyak menjalankan program pembangunan komuniti, selain alam sekitar seperti penyerahan bantuan kepada usahawan wanita dan program pemuliharaan terumbu karang,

"Malah, sepanjang tahun lalu juga, kita melihat bidang seni budaya dan warisan semakin mendapat perhatian kerana ia mempunyai potensi tersendiri untuk dikembangkan. Kami menjangka untuk program akan datang, bidang seni akan dipertingkatkan," katanya kepada BH, baru-baru ini.

Sehingga kini, Yayasan Hasanah sudah bekerjasama dengan lebih 20 rakan strategik termasuk Yayasan Chow Kit, Reef Check Malaysia dan Yayasan MySkills.

Pantau program pastikan capai matlamat

Yayasan Hasanah adalah yayasan berasaskan impak milik Khazanah Nasional Berhad dan ditubuhkan sebagai entiti bebas pada 1 Julai 2015.

Shahira berkata, Yayasan Hasanah sentiasa memantau semua program dilakukan untuk memastikan ia bertahan untuk jangka panjang dan mencapai matlamat ditetapkan.

Katanya, sepanjang penubuhannya, Yayasan Hasanah berjaya memberi impak dalam bidang pendidikan menerusi kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan, Yayasan AMIR, Yayasan PINTAR dan Teach for Malaysia.

"Hasil program yang dijalankan kita dapati terdapat peningkatan dalam pencapaian bukan saja dalam akademik, malah berjaya melahirkan pelajar yang kreatif, berdaya kepimpinan dan dapat menyelesaikan permasalahan.

"Program yang dilaksanakan ini memberi impak positif kepada lebih 800,000 pelajar membabitkan 308 sekolah di seluruh negara," katanya.

INFO Yayasan Hasanah

  • Organisasi berteraskan impak ke arah menjadikan Malaysia negara yang mampan di peringkat global menerusi pemerkasaan komuniti, keterangkuman masyarakat dan persekitaran terurus.
  • Fokus kepada lima bidang iaitu pendidikan, pembangunan komuniti, alam sekitar, ilmu pengetahuan serta seni budaya dan warisan.

Fakta Nombor:

  • Terima RM3 bilion pembiayaan daripada Khazanah Nasional Berhad

  • Mempunyai 83 sekolah amanah di lebih tujuh negeri seluruh Malaysia.

  • Menjalankan pemerhatian di 43 hutan seluruh negara bagi program pemeliharaan dan pemuliharaan hutan.

  • Berjaya menghasilkan dua kertas laporan pendapatan isi rumah di Malaysia menerusi kajian daripada Institut Kajian Khazanah bagi bidang ilmu pengetahuan.
Berita Harian X