Sabtu, 26 Ogos 2017 | 1:35pm
PELAJAR Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian, Nor Farah Diana Azad 19, (kanan) bersama ayahnya, Azad Mohd Ismail 43 (dua dari kanan), ibunya Hijirah Begum Abdullah 42 (dua dari kiri) serta adik adiknya menunjukkan surat tawaran yang diterimanya ketika majlis pendaftaran pelajar baru sesi 2017/2018 di UMP Kampus Gambang. - Foto Farizul Hafiz Awang

'Kasih ayah 270km'

KUANTAN: Seorang pencuci kereta yang tidak pernah membawa kereta di luar Seremban, Negeri Sembilan memberanikan diri memandu sejauh 270 kilometer (km) ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang dekat sini, hari ini.

Semua itu dilakukan Azad Mohd Ismail, 43, yang memandu Perodua Myvi sewa pada kadar RM140 sehari bagi mendaftar anaknya, Nurfarah Diana Azad, 19, yang melanjutkan pengajian di universiti awam (UA) itu.

Nurfarah Diana yang melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian), turut ditemani ibunya, Hijirah Begum Abdullah, 42, dan dua adik lelaki berusia 10 serta 11 tahun.

Azad berkata, keputusan nekad memandu dari Seremban ke UMP dibuat kerana bimbangkan keselamatan anak sulungnya itu jika menaiki bas ekspres, selain perlu membawa banyak barang untuk keperluan harian.

Katanya, mereka bertolak jam 5.30 pagi tadi.

"Memang saya risau kerana tidak pernah memandu jarak jauh, namun lama kelamaan saya dapat mengawal keadaan dengan selesa.

"Demi anak, saya beranikan diri memandu dan kami sekeluarga dapat menghantarnya. Kereta pun kami sewa kerana kereta saya terlalu usang dan tidak sesuai untuk perjalanan jauh," katanya ketika ditemui BH di sini, hari ini.

Azad turut berterima kasih kepada UMP kerana memudahkan pendaftaran Nurfarah Diana dengan sumbangan RM1,000 menerusi Skim Insentif Pendidikan UMP bagi keluarga kurang berkemampuan.

Katanya, sumbangan itu dapat meringankan beban menampung kos persediaan pengajian anaknya.

Sementara itu, Nurfarah Diana terharu dengan pengorbanan bapanya yang sanggup menyewa kereta dan memberanikan diri memandu jauh semata-mata untuk menghantarnya ke UMP Kampus Gambang.

"Saya tidak akan lupa jasa keluarga. Sebagai anak sulung, saya akan cuba mengubah kehidupan mereka selepas menamatkan pengajian," katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada 22 pelajar baharu UMP yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan menerusi Skim Insentif Pendidikan UMP, iaitu sebahagian Inisiatif MyGift diperkenalkan UMP.

Daing Nasir berkata, seramai 2,520 mahasiswa baharu ditawarkan tempat bagi mengikuti 26 program pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi sesi pengajian 2017/2018 yang pendaftarannya berlangsung serentak di Kompleks Sukan UMP Gambang dan Pusat Aktiviti Pelajar UMP Pekan hari ini.

"UMP turut menawarkan program dwi-ijazah bertaraf antarabangsa membabitkan kerjasama dengan pihak institusi pengajian di Jerman, Hochschule Karlsruhe, University of Applied Sciences Jerman (HsKA) dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan dengan Kepujian dengan Northern Illinois University (NIU), Amerika Syarikat.

"Tahun ini juga, UMP menawarkan program baharu iaitu Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian di bawah Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA)," katanya.

INFO

# Inisiatif MyGift diperkenalkan UMP dalam usaha menjadi universiti komuniti dan mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak.

# Sumbangan dalam bentuk endowmen itu antaranya tujuan tajaan pelajaran serta penyediaan kemudahan prasarana dam membudayakan semangat membantu golongan memerlukan.

Berita Harian X