Jumaat, 25 Ogos 2017 | 9:49am
MURID Sekolah Kebangsaan(SK) Gedangsa bersama guru berkumpul di atas padang teruja bersama bendera gergasi yang akan dipasangkan di sekolah itu.- Foto Rosman Shamsudin
MURID Sekolah Kebangsaan (SK) Gedangsa menunjukkan bendera setinggi dua tingkat bangunan sekolah.- Foto Rosman Shamsudin

Bendera gergasi di SK Gedangsa

BEHRANG: Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Gedangsa, di sini, memasang Jalur Gemilang gergasi setinggi bangunan dua tingkat bagi memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat sekolah itu, pagi tadi.

Seramai 27 guru dan kakitangan serta 197 murid bersama ibu bapa terbabit dalam menyiapkan bendera itu dalam tempoh dua minggu.

Bendera bersaiz 11 meter panjang dan enam meter lebar itu diilhamkan oleh Guru Penolong Kanan Kokurikulum (GPK), Mohd Salleh Mislam, 37, bersama guru Pusat Sumber Sekolah (PSS), Norhamizan Mat Gaus, 48 dan Suzielinda Tajuludin, 39, serta guru sekolah itu.

Mohd Salleh berkata, bendera itu dijahit sendiri dengan kerjasama guru dan ibu bapa.

"Modal untuk menghasilkan bendera ini disumbangkan oleh guru dan kakitangan sekolah .

"Tujuan bendera ini dihasilkan adalah untuk menyemarakkan lagi Bulan Kemerdekaan dalam kalangan murid sekolah ini dan mendedahkan kepada mereka betapa besarnya erti hari keramat 31 Ogos buat rakyat di negara ini.

"Semangat cintakan negara dan patriotik harus ditanam dalam kalangan rakyat bermula sejak sekolah rendah lagi supaya generasi ini yang menjadi aset masa depan negara, sedar tanggungjawab mereka mengisi ruang kemerdekaan," katanya.

Mohd Salleh berkata, kerja menjahit bendera itu bermula 14 Ogos lalu.

Turut hadir pada hari bersejarah itu, Guru Besar SK Gedangsa, Hamzah Salleh; GPK Kurikulum, Mohamad Kosnan Sadri dan GPK Hal Ehwal Murid, Sharifah Arshad.

Berita Harian X