Khamis, 24 Ogos 2017 | 6:07pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (kanan) menyampaikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kepada Pengurus D Syara Maju Enterprise, Hasnorwati Awang pada Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kepada Pengusaha Kecil dan Sederhana (IKS) Bumiputera Melalui Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM). - Foto Samadi Ahmad
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (kanan) menyampaikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kepada Pengurus D Syara Maju Enterprise, Hasnorwati Awang pada Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kepada Pengusaha Kecil dan Sederhana (IKS) Bumiputera Melalui Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM). - Foto Samadi Ahmad

Dapat Halal Malaysia dalam tiga hari

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal bagi mempercepat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (Halal Malaysia).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata inisiatif yang dimulakan 11 Julai lalu itu lebih berdaya saing kerana turut merangkumi industri bertaraf antarabangsa, tanpa menjejaskan tahap integriti dalam kalangan penerima sijil.

"Sebelum ini, proses permohonan kelulusan sijil halal mengambil masa sebulan tetapi kini tidak sampai tiga hari kecuali jika membabitkan bidang kritikal dan sensitif termasuk yang memerlukan tindakan pembetulan serta bimbingan, pusat penyembelihan selain produk makanan yang mengandungi pelbagai bahan atau pewarna.

"Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan menarik lebih ramai usahawan Bumiputera memohon Halal Malaysia, sekali gus meningkatkan pembabitan mereka dalam pembangunan ekonomi halal negara," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Halal Malaysia Kepada PKS Bumiputera, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan) JAKIM, Zainal Abidin Jaafar dan Pengarah Bahagian Usahawan, Lembaga Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Halimah Abd Kadir.

Dalam majlis itu, Jamil Khir menyampaikan sijil kepada 10 syarikat PKS Bumiputera dalam pelbagai bidang di bawah agensi pembimbing RISDA.

Jamil Khir berkata, langkah memendekkan proses kelulusan daripada sebulan kepada tiga hari itu bukanlah bermakna JAKIM memberi kelulusan dengan mudah.

Jelas beliau, JAKIM terus bekerjasama dengan 14 agensi pembimbing kerana peranan mereka mampu membantu PKS mendapatkan Halal Malaysia.

"Kalau dulu, kita hanya menekankan aspek audit dan pematuhan manakala melalui agensi pembimbing ini kerajaan dapat membantu PKS mengembangkan industri halal ke peringkat lebih luas, sekali gus mengetengahkan negara sebagai peneraju dunia halal," katanya.

Berita Harian X