Khamis, 24 Ogos 2017 | 12:16pm
KAPAL Tempur Pesisir Tentera Laut Diraja Malaysia di Boustead Naval Shipyard, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut. - Foto Abdullah Yusof
KAPAL Tempur Pesisir Tentera Laut Diraja Malaysia di Boustead Naval Shipyard, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut. - Foto Abdullah Yusof
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim (dua dari kanan) diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan) ketika hadir upacara penamaan dan pelancaran Kapal Tempur Pesisir Tentera Laut Diraja Malaysia di Boustead Naval Shipyard,Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut. - Foto Abdullah Yusof

KD Maharaja Lela 'beraksi'

LUMUT: Kapal Tempur Pesisir (LCS) tercanggih pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilancarkan hari ini dan diberi nama Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela.

Upacara penamaan dan pelancaran kapal bernilai RM1.5 bilion itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Serentak itu, kapal pertama daripada enam LCS bernilai RM9 bilion yang dibina BN Shipyard itu akan dilepaskan buat pertama kali ke perairan hari ini.

Majlis berlangsung di dermaga Boustead Naval (BN) Shipyard di Pangkalan TLDM Lumut, di sini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Turur serta, Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor.

Dalam ucapannya, Hishammuddin berkata, nama Maharaja Lela dipilih sempena nama Datuk Maharaja Lela, seorang pahlawan Melayu yang memimpin perjuangan rakyat Perak bagi menentang penjajahan British di negara ini.

Beliau berkata, pelancaran kapal itu membuktikan keupayaan dan kemampuan anak tempatan untuk bersaing dalam industri berat, khususnya teknologi ketenteraan.

"Ia kerana KD Maharaja Lela adalah kapal kelas frigat pertama dibina sepenuhnya syarikat tempatan iaitu BN Shipyard Sdn Bhd," katanya.

Ahmad Ramli dalam ucapannya pula berkata, kapal tempur terbesar dalam armada TLDM itu mempunyai reka bentuk halimunan atau 'stealth' yang sukar dikesan menerusi radar.

Katanya, ia akan diserahkan kepada TLDM pada tahun 2019 selepas menjalani proses ujian di pelabuhan dan laut serta ujian penembakan.

Beliau berkata, kapal itu memiliki keupayaan peperangan empat dimensi dengan mempunyai daya tahan lasak mengatasi ancaman elektronik, udara, darat dan air serta sistem pengurusan peperangan yang terkini. 

INFO

KD Maharaja Lela

* Mempunyai kelajuan maksimum sehingga 28 knot.

* Panjang kapal 111 meter.

* Dilengkapi beberapa senjata utama seperti sistem pelancar torpedo, sistem pelancar misil antipermukaan, sistem pelancar misil antiudara dan meriam kaliber sederhana bagi meningkatkan lagi kawalan keselamatan di perairan negara.

Berita Harian X