Rabu, 23 Ogos 2017 | 1:09am

Pengurusan kanan MPB lawat loji cetak

SHAH ALAM: Pengurusan Kanan Media Prima Berhad (MPB) dan The New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP), malam tadi melawat Loji Percetakan Balai Berita Shah Alam (BBSA), di Bukit Jelutong, di sini.

Lawatan itu memberi peluang kepada pengurusan kanan MPB dan NSTP beramah mesra dengan kakitangan Loji Percetakan BBSA yang bertugas.

Antara pengurusan kanan yang hadir pada program itu adalah Pengerusi MPB, Tan Sri Ismee Ismail; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid; Pengerusi NSTP, Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid.

Turut menyertai lawatan itu, Pengarang Eksekutif (Projek Khas) NSTP, Azizi Othman serta Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital Berita Harian (BH), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Rombongan itu dibawa melawat ke Bahagian Prapercetakan, Percetakan dan Pembungkusan bagi melihat sendiri proses percetakan tiga jenama akhbar di bawah NSTP iaitu New Straits Times, BH dan Harian Metro.

Mereka turut diberi penerangan ringkas oleh Ketua Pengeluaran Pembangunan NSTP, Sazali Hashim serta Pengurus Loji BBSA, Daniel Ibrahim.

Terdahulu, pada kira-kira jam 9.30 malam, kakitangan loji percetakan menghadiri sesi townhall dengan pengurusan kanan NSTP dan berpeluang bertanyakan soalan mengenai kedudukan serta perancangan syarikat, selain mendengar amanat daripada Abdul Jalil.

Semua pengurusan kanan dan kakitangan loji percetakan BBSA kemudian menikmati hidangan ringkas selepas lawatan tamat.

PENGERUSI Media Prima Berhad, Tan Sri Ismee Ismail (dua dari kanan) bersama Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid (kanan), Pengerusi The New Straits Times Press (NSTP), Tan Sri Ismail Omar, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (hujung kiri) ketika mengadakan lawatan ke Balai Berita Shah Alam. - Foto SAIRIEN NAFIS
Berita Harian X