Selasa, 22 Ogos 2017 | 8:08pm
NORHAYATI (dua dari kanan) menyampaikan buku cenderahati 100 tahun Hospital Bahagia Ulu Kinta kepada Hashim (kiri), turut sama hadir Abdul Aziz (dua dari kiri) di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Ipoh. - Foto l.Manimaran
NORHAYATI (dua dari kanan) menyampaikan buku cenderahati 100 tahun Hospital Bahagia Ulu Kinta kepada Hashim (kiri), turut sama hadir Abdul Aziz (dua dari kiri) di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Ipoh. - Foto l.Manimaran

Sakit mental akibat dadah meningkat

IPOH: Bilangan pesakit yang dimasukkan ke Hospital Bahagia Ulu Kinta berpunca daripada dadah menunjukkan aliran meningkat dalam tempoh tiga tahun ini, kata Pengarahnya, Dr Norhayati Nordin.

Beliau berkata, seramai 357 pesakit mental akibat dadah dirawat di hospital itu pada 2014 dan meningkat kepada 395 orang (2015) dan 441 orang tahun lalu.

Katanya, walaupun masalah skizofrenia masih mencatatkan bilangan pesakit tertinggi dirawat di situ, ia menunjukkan aliran menurun iaitu daripada 1,093 orang (2014) kepada 1,006 orang (2015) dan 954 orang tahun lalu.

"Saya percaya peningkatan pesakit mental akibat dadah ini berpunca daripada penggunaan banyak dadah sintetik sekarang yang boleh mengakibatkan penagihnya mengalami psikosis (gejala seperti halusinasi)," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menerima kunjungan lawatan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kesihatan Mental (MHF) diketuai Pengerusinya, Tan Sri Hashim Meon, di Tanjung Rambutan dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif MHF yang juga bekas Pengarah Hospital Bahagai Ulu Kinta, Datuk Dr Abdul Aziz Abdullah.

Dr Norhayati yang juga Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, turut berkata kanak-kanak yang berhadapan masalah tingkah laku termasuk dalam pembelajaran mungkin mempunyai kaitan dengan kesihatan mental.

"Jika tidak dikesan dari awal, ibu bapa mungkin mengatakan anak mereka sebagai degil dan nakal sedangkan ia mungkin berpunca daripada masalah emosi kanak-kanak itu.

"Kanak-kanak sekarang didapati tidak pandai untuk mengawal masalah. Ini boleh dikesan apabila mereka kalah dalam permainan menggunakan gajet, mereka akan segera menukar ke permainan lain berbanding kanak-kanak zaman dahulu apabila kalah dalam sesuatu permainan, mereka akan berusaha berulang kali untuk memenangi permainan yang sama," katanya.

Sementara itu, Hashim berkata, kunjungan itu sebagai usaha untuk memberi pendedahan kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah MHF terhadap rawatan dan perkhidmatan dalam kesihatan mental.

Beliau berkata, pihaknya mahu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesihatan mental kerana kajian pada 2015 menunjukkan 30 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah mental dan menjadi penyakit kedua tertinggi di negara ini selepas penyakit yang ada kaitan dengan jantung.

Katanya, MHF yang mempunyai bangunan sendiri di Ampang, Selangor, sehingga kini sudah melatih kira-kira 100 bekas pesakit mental dengan latihan memasak serta kemahiran lain bagi membolehkan mereka berdikari termasuk membuka perniagaan, dengan sebilangan kecil daripada mereka didapati sudah boleh menyara keluarga.

"Kami sedia menerima mana-mana bekas pesakit mental terutama sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka, untuk mendapatkan latihan kemahiran di premis kami," katanya.

Berita Harian X