Selasa, 22 Ogos 2017 | 1:46pm
NOOR Raihan dan suami, Saharon Sahari, 35 menunjukkan gambar Allahyarhamah Noor Aini Muhammad, 55 yang meninggal dunia ketika sedang menunaikan haji di Madinah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Mas, Tendong. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
NOOR Raihan dan suami, Saharon Sahari, 35 menunjukkan gambar Allahyarhamah Noor Aini Muhammad, 55 yang meninggal dunia ketika sedang menunaikan haji di Madinah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Mas, Tendong. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

'Rezeki' ibu di Tanah Suci - Anak

PASIR MAS: "Ternyata hasrat Ma (ibu) mahu dimandikan di Tanah Suci sebelum bertolak di sana menjadi realiti," kata Noor Raihan Rukman.

Noor Raihan, 34, adalah anak sulung daripada enam beradik kepada Noor Aini Muhammad, 55, jemaah haji Malaysia ketiga meninggal dunia akibat jangkitan kuman di Madinah pada 9 Ogos lalu.

Katanya, dia menerima berita kematian ibunya, jam 11.57 malam pada hari sama melalui aplikasi WhatsApp daripada ayahnya, Rukman Sidek, 57, yang bertolak bersama menaiki penerbangan pertama pada 24 Julai lalu.

"Ma ada berseloroh bahawa kami tidak boleh melihat (kuburnya) kalau dia meninggal dunia di Tanah Suci. Namun, kami tidak terlalu memikirkan sangat walaupun ketika itu sudah berasa tidak sedap hati," katanya.

Malah, Noor Aini juga sempat berseloroh dengan adik iparnya, Zarina Mat Yusof, 37, bahawa dia mungkin tidak pulang dari Tanah Suci ketika mencuba budu buatan sendiri di rumahnya.

"Pada masa sama, Ma juga berpesan kepada adik iparnya itu supaya meneruskan majlis pertunangan anak saudaranya pada hari kedua Aidiladha tanpa menunggunya pulang," katanya ketika menerima kunjungan Pengarah Tabung Haji (TH) Kelantan, Wahyudin Tamami di rumahnya, di Kampung Kubang Mas, Tendong, di sini, sebentar tadi.

Noor Raihan berkata, dia tidak sangka dengan tiba-tiba dimaklumkan ayahnya bahawa ibu mula tidak sedarkan diri pada 1 Ogos lalu sebelum dikesan terdapat jangkitan kuman ketika menjalani ujian pengimbasan (CT Scan) di Hospital Raja Fahd, Madinah.

Katanya, ibunya kemudian dirujuk ke Hosptal Aldar, Madinah, sebelum keadaannya mula kritikal pada 4 Ogos lalu selepas otaknya mula membengkak selain mengalami komplikasi jantung dan buah pinggang.

"Ma tidak mempunyai sebarang penyakit sebelum ini, malah arwah sihat dan tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan serta petanda pelik ketika hendak berangkat ke Tanah Suci.

"Mungkin takdir ibadatnya sampai di sana saja, Insya-Allah kalau ada rezeki kami adik beradik akan ke Tanah Suci menunaikan umrah selepas musim haji nanti dan akan melawat kuburnya di Tanah Perkuburan Baqi' Madinah," katanya sambil menambah ibu dan ayahnya sepatutnya pulang ke tanah air pada 8 September depan.

Berita Harian X