Ahad, 20 Ogos 2017 | 7:38pm
TENGKU Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (empat, kanan) melawat bengkel pembuatan kain tenun Pahang selepas merasmikan Kraf Kampungku (KKK) Tenun Pahang Diraja di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam, Kompleks Budaya Pulau Keladi hari ini.- Foto BERNAMA>

Pengiktirafan buat Tenun Pahang Diraja

PEKAN: Kesudian Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim mengenakan kain Tenun Pahang Diraja pada majlis perkahwinannya, Isnin lalu, adalah pengiktirafan terhadap hasil seni halus Pahang itu.

Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, terkejut melihat anak saudaranya itu sudi mengenakan fabrik hasil tenunan banduan dari Penjara Penor, Kuantan yang dihadiahkannya.

"Saya tidak sangka anak saudara sendiri iaitu Tunku Tun Aminah sudi untuk memakai kain Tenun Pahang Diraja yang saya hadiahkan pada hari perkahwinannya.

"Ia adalah pengiktirafan besar dan penghormatan kepada Tenun Pahang Diraja," titah baginda pada Majlis Perasmian Projek Kraf Kampungku Tenun Pahang Diraja di Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Yean Yoke Heng.

Tunku Tun Aminah dan pasangannya, Dennis Muhammad Abdullah melangsungkan perkahwinan di Istana Besar, Johor Bahru, Johor pada Isnin lalu dan pakaian dikenakan terutama busana tradisional Johor dipakai puteri tunggal Sultan Johor itu mendapat perhatian ramai.

Ramai memuji kecantikan Kain Tenun Diraja Pahang direka Tunku Azizah yang digunakan bagi menghasilkan baju kurung dikenakan Tunku Tun Aminah.

Sementara itu, Tunku Azizah bertitah, Yayasan Tenun Pahang Diraja yang ditubuhkan bagi menjaga kebajikan usahawan tenun di negeri ini akan dilancarkan pada November depan.

Warisan berusia lebih 300 tahun ini jika tidak dipelihara dengan baik akan menyebabkan kita kehilangannya dalam tempoh 10 tahun lagi," titahnya

Dalam pada itu, Yoke Heng projek Kraf Kampungku Tenun Pahang Diraja dilaksanakan di enam lokasi sekitar Pekan membabitkan seramai 12 usahawan tenun.

"Enam lokasi itu adalah Kampung Pulau Rusa, Kompleks Budaya Pulau Keladi, Kompleks Industri Rekreasi Felda Chini, Kampung Temai Hilir, Kampung Soi, Kampung Simpang Kepayang dan Perumahan Datuk Shah Bandar," katanya.

Berita Harian X