Ahad, 20 Ogos 2017 | 3:55pm
SEBAHAGIAN murid SJKT Taman Tun Aminah mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-60. - Foto Nurul Amanina Suhaini
REVINDRAN (tengah) melepaskan 60 ekor burung pipit sebagai simbolik perasmian sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 yang diadakan di SJKT Taman Tun Aminah, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Kandapan agih 10,000 Jalur Gemilang

JOHOR BAHRU: Ahli perniagaan, M Kandapan, 57, yang sering tampil dengan kelainan setiap kali meraikan Hari Kemerdekaan, menyumbangkan 10,000 Jalur Gemilang untuk 15 sekolah di sini.

Agihan bendera itu dibuat secara berperingkat-peringkat sejak awal bulan ini ke sekolah rendah dan menengah untuk menyuburkan semangat kemerdekaan dalam kalangan pelajar.

Kandapan berkata, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Tun Aminah, di sini, ialah sekolah keempat yang terpilih bagi menjayakan program mengibarkan Jalur Gemilang.

Katanya, ahli perniagaan, P Raju yang juga Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah itu turut menyediakan lapan kereta dan dua motosikal berkuasa tinggi yang dihiasi dengan Jalur Gemilang.

"Menerusi program itu, 60 burung pipit turut dilepaskan sebagai simbolik kepada kebebasan sesebuah negara, sekali gus melambangkan erti kemerdekaan sebenar.

"Nilai patriotisme yang dicapai ketika mengibar Jalur Gemilang, juga sebagai tanda simbolik bagi mengenang jasa pemimpin yang berjuang mengekalkan keharmonian negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 yang disempurnakan oleh Guru Besar SJKT Taman Tun Aminah, N Revindran, di sini, hari ini.

Sementara itu, Revindran berkata, program itu yang kedua dianjurkan selain kempen bulan kemerdekaan peringkat sekolah yang dilaksanakan selama sebulan dan berakhir 15 September depan.

Katanya, pelbagai kegiatan menarik dijalankan seperti melukis, pertandingan nyanyian lagu patriotik dan deklamasi sajak bagi mengenang jasa tokoh negara.

Berita Harian X