Jumaat, 18 Ogos 2017 | 5:24pm
PRESIDEN Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
PRESIDEN Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

MAMA tidak setuju pemeriksaan tambahan

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan mengenakan empat saringan kesihatan tambahan bagi pekerja asing bermula 1 Januari depan.

 

Presidennya, Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein, berkata, langkah itu bukan saja membebankan majikan, malah bertindih dengan saringan yang dilaksanakan oleh Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA).

 

Beliau berkata, saringan kesihatan itu baik untuk mengelakkan peningkatan penyakit berjangkit, namun kekerapan pemeriksaan yang diputuskan itu tidak munasabah.

 

Katanya, berdasarkan saringan FOMEMA sekarang, pekerja asing yang didapati memiliki penyakit tidak diberi permit kerja.

"Pekerja asing yang ada penyakit berjangkit sepatutnya dihantar pulang ke negara asal, bukan terus kekal dan menjalani saringan demi saringan," katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

 

Beliau mengulas keputusan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani empat sesi pemeriksaan kesihatan dan saringan tambahan bagi mengelakkan peningkatan penyakit berjangkit bermula 1 Januari depan, seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

 

Engku Ahmad Fauzi berkata, ketika ini, pekerja asing perlu menjalani dua saringan FOMEMA, iaitu yang pertama di negara asal dan kedua ketika tiba di negara ini.

 

Katanya, kos pemeriksaan yang perlu ditanggung majikan ialah antara RM200 hingga RM300 seorang.

 

Beliau berkata, penyakit berjangkit bawaan pekerja asing sebenarnya berpunca daripada mereka yang datang secara tidak sah kerana mereka tidak melalui saringan FOMEMA. 

 

"Saringan kesihatan tambahan kepada pekerja asing yang sah ini tidak menyelesaikan masalah, selain membebankan majikan serta membuang masa," katanya.

Berita Harian X