Rabu, 16 Ogos 2017 | 11:26pm
KEDAI antik milik Abdul Rahman Mohamad di Jalan utama Baling -Kulim berdekatan Kampung Keledang. - Foto Safuri Kamarudin
ABDUL Rahman atau mesra dipanggil MAN Gubir menyusun kayu lama miliknya. - Foto Safuri Kamarudin
ABDUL Rahman menunjukkan kayu lama di kedainya. - Foto Safuri Kamarudin

Dituduh gila kumpul, jual 'tunggul' kayu

BALING: Dek kerana hobi peliknya mengutip dan mengumpul tunggul kayu buruk, Abdul Rahman Mohamad, 76, dari Kampung Keledang, Tawar di sini pernah dicemuh, malah digelar gila oleh orang kampungnya.

Namun, cemuhan itu tidak pernah mematahkan semangat untuk meneruskan hobi uniknya dan menukarkan hobi berkenaan menjadi bisnes utama.

"Ketika mula-mula melakukan kerja mengutip dan mengumpul tunggul kayu buruk itu ramai yang menganggap diri saya pelik. Saya buat tidak kisah apa orang hendak kata, yang penting hati puas.

"Boleh dikatakan setiap hari saya akan ke kawasan bukit berdekatan bagi mencari kayu perhiasan itu, selain kadang kala ke daerah luar untuk mencari bentuk yang cantik dan tahan lama.

"Selain mencari sendiri, saya juga mengupah penduduk untuk mencari bentuk kayu yang berukiran dan cantik dan membayar mereka hingga RM500.

"Daripada situ timbul minat untuk mengindahkan kayu berkenaan dan mengecatnya dengan varnish supaya tahan lama.

"Sudah ditakdirkan Allah, kayu-kayu buruk yang disusun dalam dan luar kedai menjadi tarikan orang ramai, lalu ada yang ingin membelinya," katanya kepada BH.


ANTARA koleksi tunggul kayu yang boleh di dapati di kedai antik milik Man Gubir. - Foto Safuri Kamarudin

Menurut warga emas yang dikenali sebagai Man Gubir itu, kini beliau mampu tersenyum puas kerana kedai miliknya di laluan utama Baling-Kulim yang dibuka sejak 12 tahun dikunjungi ramai untuk melihat serta membeli kayu perhiasan berkenaan.

"Setakat ini lebih tiga treler kayu pelbagai ukiran ada dalam milikan saya dan masih tahan lama walaupun ditimpa hujan dan panas.

"Sudah banyak juga kayu berukir yang saya jual untuk dijadikan hiasan deko. Paling mahal ialah mencecah RM10,000, ...kayu yang dijual empat tahun lalu itu cukup unik kerana mempunyai bentuk kalimah Allah," katanya.

Mengenai jenis kayu, beliau berkata, dia hanya memilih kayu yang tahan lama dan tidak cepat reput seperti daripada jenis Merbau, Tembusu, Cengal, Sempeneh, Bayam Badak dan Mentalin.

Man Gubir berkata, selain kayu berukir beliau juga menjual dan menyimpan barangan lama serta antik daripada tembaga, besi, kaca dan arca yang diperoleh ketika keluar merantau.


ABDUL Rahman menunjukkan bekas sireh pinang tembaga miliknya di Jalan utama Baling -Kulim berdekatan Kampung Keledang. - Foto Safuri Kamarudin

"Semua barangan antik berkenaan dipamerkan di setiap sudut kedai. Antaranya buaian kanak-kanak, pedang, kayu berukiran sampan, tajak dan kayu ukiran badak sumbu.

"Bukan saja penduduk tempatan datang membelinya, malah pelancong Indonesia, Jepun, Korea, China dan Thailand juga mendapatkannya untuk dijadikan ole-ole," kata bapa kepada tiga anak itu.

Berita Harian X