Isnin, 14 Ogos 2017 | 11:26pm
Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim bersama suami, Dennis Muhammad Abdullah tiba di Balai Singgahsana Istana Besar, Johor Bahru. - Foto NSTP/Ihsan Royal Press Office

Persandingan Pengantin Diraja meriah


Istiadat Persandingan DiRaja Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan suaminya, Dennis Muhammad Abdullah di Balai Singgahsana Istana Besar, Johor Bahru. - Foto NSTP/Ihsan Royal Press Office

JOHOR BAHRU: Istiadat Persandingan Diraja Johor antara puteri tunggal Sultan Johor, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan pasangannya, Dennis Muhammad Abdullah, berlangsung dalam suasana gilang-gemilang di Istana Besar, di sini, malam ini.

Menurut kenyataan Royal Press Office (RPO), pasangan Pengantin Diraja itu berangkat meninggalkan Istana Bukit Serene menuju ke Istana Besar menaiki kereta antik Mercedes Limousine Covertible, diiringi pengiring bermotosikal dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN).


Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencemar duli menepung tawar anakanda Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim bersama suaminya, Dennis Muhammad Abdullah di Balai Singgahsana Istana Besar, Johor Bahru. - Foto NSTP/Ihsan Royal Press Office

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mencemar duli menepung tawar anakanda Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim bersama suaminya, Dennis Muhammad Abdullah di Balai Singgahsana Istana Besar, Johor Bahru. - Foto NSTP/Ihsan Royal Press Office

Pasangan Pengantin Diraja berangkat tiba di Istana Besar pada jam 8.35 malam, disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar.

Istiadat Persandingan Diraja yang dihadiri 1,200 tetamu itu, disaksikan sekalian anggota kerabat Diraja, orang kenamaan selain ditonton oleh rakyat jelata menerusi dua skrin gergasi di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan bangunan MBJB.

Istiadat Persandingan Diraja bermula pada jam 8 malam dengan keberangkatan masuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Ia diikuti dengan keberangkatan masuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha; Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.


JOHOR BAHRU 14 AUGUST 2017. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menepung tawar semasa Istiadat Persandingan Diraja Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim bersama suaminya, Dennis Muhammad Abdullah di Balai Singgahsana Istana Besar, Johor Bahru. NSTP/IHSAN ROYAL PRESS OFFICEIHSAN ROYAL PRESS OFFICE

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menepung tawar adindanya Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim bersama suaminya, Dennis Muhammad Abdullah di Balai Singgahsana Istana Besar, Johor Bahru. - Foto NSTP/Ihsan Royal Press Office

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che' Puan Khaleeda Bustamam; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teoh Chee Hean dan isteri.

Pasangan Pengantin Diraja yang mengenakan busana tradisional Johor, Baju Kurung dan Baju Melayu Teluk Belanga serba putih kemudian berangkat masuk ke Bilik Singgahsana Istana Besar.

Sebelum memulakan istiadat merenjis dan tepung tawar, Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin mengetuai bacaan doa.

Istiadat merenjis dan tepung tawar dimulakan oleh Sultan Brunei, diikuti isterinya; Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah serta ibu bapa Dennis Muhammad, Martin dan Henriette Verbaas.

Istiadat Persandingan Diraja itu berlangsung dengan penuh tradisi dan adat istiadat budaya Diraja Johor.

Persekitaran Istana Besar turut dihiasi dengan pelbagai bunga-bungaan dan limpahan cahaya berwarni-warni bagi memeriahkan lagi Istiadat Persandingan Pengantin Diraja itu.

Berita Harian X