Isnin, 14 Ogos 2017 | 8:22pm
RAKYAT Johor mula berkumpul bersama keluarga di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru untuk sama-sama menyaksikan siaran langsung Istiadat Persandingan Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Iskandariah Sultan Ibrahim bersama suami, Dennis Muhammad Abdullah yang berlangsung di Balai Singgahsana Istana Besar Johor Bahru. - Foto Mohd Fahmi Mohd Yusof
RAKYAT Johor mula berkumpul bersama keluarga di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru untuk sama-sama menyaksikan siaran langsung Istiadat Persandingan Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Iskandariah Sultan Ibrahim bersama suami, Dennis Muhammad Abdullah yang berlangsung di Balai Singgahsana Istana Besar Johor Bahru. - Foto Mohd Fahmi Mohd Yusof

Rakyat Johor kongsi kegembiraan

JOHOR BAHRU: Rakyat Johor teruja dan berbangga apabila Istiadat Persandingan Puteri tunggal Sultan Johor, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan suami, Dennis Muhammad Abdullah, malam ini disiar secara langsung.

Istiadat yang berlangsung di Bilik Singgahsana Istana Besar Johor Bahru yang bermula pada jam 8 malam ini disiar secara langsung di dua lokasi menerusi skrin gergasi iaitu Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan bangunan MBJB.

Tinjauan BH di Dataran MBJB mendapati orang ramai mula memenuhi perkarangan skrin gergasi sejak jam 6 petang tadi bagi sama-sama menyaksikan detik bersejarah perkahwinan Diraja itu.

Pasangan Hashim Timat, 62 dan Fauzilah Ahmad, 52, berasa amat teruja dan berbangga kerana dapat menyaksikan majlis perkahwinan Diraja secara langsung.

Hashim berkata, mereka sanggup datang dari FELDA Air Tawar 1 di Kota Tinggi melihat secara langsung istiadat perkahwinan pasangan diraja itu.

"Sebelum ini kami tertanya-tanya dan terbayang-bayang bagaimana keindahan perkahwinan diraja ini berlangsung, tetapi kini kami sebagai rakyat Johor berbangga dapat melihatnya secara langsung.

"Jadi kami sanggup datang walaupun dari jauh semata-mata untuk menyaksikan dan turut sama menjadi sejarah untuk Johor pada hari ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pekerja swasta, Farhana Rahmat, 33, berkata beliau mengambil peluang untuk bersantai bersama keluarga sambil menyaksikan istiadat ini.

"Saya dapat tahu daripada Facebook dan memang dari awal merancang untuk saksikan siaran langsung ini beramai-ramai.

"Kami sebagai rakyat Johor rasa dihargai sebab memang kita sendiri tahu rakyat biasa tidak dapat memasuki istana tetapi dengan siaran langsung ini kami dapat melihat kemeriahan perkahwinan diraja," katanya.

Berita Harian X