Rabu, 9 Ogos 2017 | 3:34pm
NAIB Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif UMP, Prof Datuk Daing Nasir Ibrahim.
NAIB Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif UMP, Prof Datuk Daing Nasir Ibrahim.

Graduan ikuti PLKI-ECRL

KUANTAN: Seramai 3,600 graduan lepasan ijazah sarjana muda, diploma dan sijil kemahiran dalam tiga bidang utama bakal mengikuti Program Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) di 13 universiti awam (UA) terpilih.

Bidang berkenaan merangkumi kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal dan kejuruteraan elektrik.

Universiti Malaysia Pahang (UMP) diberi tanggungjawab menyediakan modul latihan itu dengan kerjasama agensi kerajaan, Malaysia Rail Link (MRL) dan China Communications Construction Group Limited (CCCC).

Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif UMP, Prof Datuk Daing Nasir Ibrahim, berkata PLKI-ECRL adalah program latihan peningkatan kemahiran bagi melatih dan mempersiapkan graduan tempatan menyertai tenaga kerja pembinaan ECRL.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan Universiti Jiaotong Beijing dan Universiti Southwest Jiaotong dari China dalam pembangunan modul latihan.

"Kita buka kepada semua graduan dalam tiga bidang utama menjalani latihan.

"Ini adalah peluang berharga bagi graduan tempatan mendapat latihan daripada pakar dalam tiga bidang itu dan belajar mengenai teknologi kereta api moden yang masih baharu di negara kita," katanya ketika ditemui BH, hari ini.

Bagi fasa awal, Daing berkata, seramai 50 graduan akan menjalani program PLKI-ECRL bulan depan sebelum disertai 250 orang lagi pada Oktober atau November.

PLKI-ECRL disasar mampu melatih 3,600 graduan dalam tempoh tujuh tahun.

Ia adalah kesinambungan projek mega ECRL yang baru memulakan projek pembinaannya menghubungkan Lembah Klang ke negeri Pantai Timur.

Berita Harian X