Selasa, 1 Ogos 2017 | 11:38am
PEMBANTU Farmasi, Amanina Rashid (kanan) membantu pekerja warga asing dari Nepal, Bhattarai Gangga Prasad (kiri) meletakkan jari ke alat pengecaman cap jari Biometrik yang akan digunakan dalam pemeriksaan saringan kesihatan pekerja asing bagi membuat pengecaman dan pengesahan identiti pekerja asing sempena Majlis Pelancaran (Soft Launch) Sistem Biometrik Pemeriksaan Kesihatan Pekerja Asing FOMEMA di Klinik Ajwa,Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Sistem biometrik saring kesihatan pekerja asing

SHAH ALAM: Sistem Biometrik Pemeriksaan Saringan Kesihatan Pekerja Asing yang bertujuan menangani masalah pemalsuan identiti akan berkuatkuasa sepenuhnya di seluruh negara bermula Oktober depan.

Melalui sistem itu, pekerja asing perlu melakukan pengecaman cap jari biometrik bagi melakukan saringan kesihatan di lebih 3,000 klinik yang berdaftar di bawah Agensi Pemantauan Pemeriksaan Saringan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA).

Sistem itu akan diintegrasikan dengan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMS) yang dibangunkan dan dikendalikan HeiTech Padu Berhad.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata sistem pengecaman biometrik itu akan menjadi lapisan kedua saringan pekerja asing yang bekerja di negara ini.

Katanya, sistem saringan kesihatan biometrik itu akan memastikan hanya pekerja asing yang sihat bekerja di negara ini.

"Kita dapati beberapa peratus pekerja asing yang guna orang lain untuk tujuan saringan kesihatan. Kita tidak kompromi kalau ada pemalsuan," katanya pada majlis pra-pelancaran sistem biometrik pemeriksaan saringan kesihatan pekerja asing FOMEMA di Klinik Ajwa di sini, sebentar tadi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif FOMEMA, Datuk Mohd Hatar Ismail dan Pengerusi HeiTech Padu Berhad, Datuk Seri Hilmey Mohd Taib.

Seramai 407,890 pekerja asing melalui pemeriksaan saringan kesihatan dari Januari hingga Jun tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 10,618 atau 2.6 peratus pekerja asing gagal saringan kesihatan dengan majoritinya mengidap tibi, hepatitis B dan STD (penyakit jangkitan seksual).

Pekerja asing dari Indonesia menduduki tangga teratas tidak lulus saringan kesihatan dengan mencatat 3,129 kes, Nepal (3,021) diikuti Bangladesh (1,643).

Pekerja asing yang gagal saringan kesihatan akan dihantar pulang ke negara masing-masing.

Berita Harian X