Isnin, 31 Julai 2017 | 5:44pm
PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye, menyampaikan ucapannya di Majlis Menandatangani MOU antara NIOSH dan TM TEC Academy di Hotel Waterfront Kuching. - Foto Nadim Bokhari
PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye, menyampaikan ucapannya di Majlis Menandatangani MOU antara NIOSH dan TM TEC Academy di Hotel Waterfront Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Amalan OSH tingkat produktiviti negara

KUCHING: Malaysia mampu meningkatkan lagi taraf Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) selaras dengan hasrat untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi, tidak lama lagi.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, keyakinan itu berasaskan kesungguhan syarikat yang beroperasi di negara ini untuk meningkatkan kesedaran dalam mengurangkan kemalangan industri.

Beliau berkata, kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan itu akhirnya akan membantu meningkatkan produktiviti negara.

"Malaysia sudah muncul sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam mengamalkan OSH, namun masih banyak ruang untuk penambahbaikan. 

"Malaysia boleh melakukan yang lebih baik untuk membawa standard OSH ke tahap lebih tinggi. Ini boleh dicapai dengan mewujudkan kesedaran mengenai amalan OSH yang baik melalui kempen, seminar dan kursus serta latihan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan seminar OSH, yang disertai 68 wakil agensi kerajaan dan sektor swasta, di sini, hari ini.

Berita Harian X