AYER KEROH: Penganjuran Karnival Jom Heboh antara penyumbang kepada peningkatan kehadiran pelancong ke Melaka, sejajar penyenaraian negeri itu sebagai 10 destinasi terbaik Asia 2017 oleh Lonely Planet.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata pengiktirafan dari firma panduan pelancong terbesar dunia itu membuktikan Melaka berada dalam radar domestik serta antarabangsa yang berminat menikmati kepelbagaian budaya, bahan sejarah serta produk pelancongan,
"Karnival Jom Heboh anjuran Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) menjadi penyumbang kepada kedatangan pelancong domestik ke Melaka dan kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha seperti ini.
"Saya harap karnival ini singgah lagi ke Melaka pada masa depan, malah tempoh penganjurannya perlu ditambah sekurang-kurangnya lima hari bagi merancakkan sektor pelancongan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat tapak Karnival Jom Heboh di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Turut mengiringi beliau, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio MPB, Seelan Paul; Pengurus Besar Kumpulan Operasi Berita Rangkaian Televisyen MPB, Sofwan Mahmood dan Pengurus Besar Pejabat Pengerusi Kumpulan MPB, Mohd Najmuddin Abdul Razak.
Melaka adalah destinasi ketiga bagi karnival tahunan anjuran Kumpulan MPB tahun ini.
Karnival dua hari berakhir hari ini menyediakan pelbagai aktiviti keluarga bersama artis popular serta selebriti TV3, TV9, 8TV dan NTV7 serta rangkaian radio Hot FM dan Kool FM.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian TV MPB, Datuk Kamal Khalid, berkata sehingga jam 6 petang tadi, seramai 450,000 pengunjung membanjiri Dataran MITC bagi memeriahkan Karnival Jom Heboh.
"Insya-Allah, kami akan kembali ke Melaka tahun depan untuk berkongsi kegembiraan bersama peminat setia rangkaian televisyen dan radio MPB," katanya.