Khamis, 27 Julai 2017 | 7:37pm

PROVIM 2017: Proton Saga, RM5,000 menanti pemenang

 

PETALING JAYA: Orang ramai kini berpeluang memenangi sebuah Proton Saga 1.3 Liter (L) dan wang tunai sehingga RM5,000 menerusi penyertaan Projek Video Malaysia (PROVIM 2017) anjuran Media Prima Berhad (MPB).

 

Kereta buatan nasional itu adalah hasil sumbangan DRB-HICOM Berhad yang julung kali menjadi penaja  PROVIM bertemakan 'Negaraku', pertandingan video pendek yang menggambarkan perpaduan kaum dan semangat patriotik di negara ini sempena Hari Malaysia.

Pengarang Eksekutif, Unit Berita Digital, Divisyen Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian TV Media Prima, Azura Zainal Ratin (kanan) menerima tajaan hadiah utama PROVIM 2017 (Projek Video Malaysia) berupa Proton Saga 1.3 CVT daripada Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB- HICOM Berhad, Mahmood Abdul Razak di Sri Pentas Bandar Utama. - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Pengarang Eksekutif, Unit Berita Digital, Divisyen Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian TV Media Prima, Azura Zainal Ratin (kanan) menerima tajaan hadiah utama PROVIM 2017 (Projek Video Malaysia) berupa Proton Saga 1.3 CVT daripada Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB- HICOM Berhad, Mahmood Abdul Razak di Sri Pentas Bandar Utama. - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail

Pengarang Eksekutif Berita Digital MPB, Azura Zainal Ratin, berkata mereka yang berminat boleh menghantar penyertaan video pendek dalam format MP4 berdurasi tidak lebih tiga minit menerusi emel ke provim.mpb@gmail.com pada 1 Ogos hingga 31 Ogos ini.

 

Katanya, pemenang akan diumumkan pada 16 September ini menerusi Facebook dan berita rangkaian televisyen MPB.

 

"Kriteria utama dalam memilih pemenang adalah elemen perpaduan yang terdiri daripada masyarakat majmuk di Malaysia, selain berdasarkan kreativiti masing-masing.

 

"Saya ambil contoh pemenang PROVIM tahun lalu, beliau yang juga seorang pelajar berjaya memaparkan beberapa watak utama yang terdiri daripada individu berbilang kaum.

 

"Video dihasilkan pelajar berkenaan akan memberi impak besar termasuk kepentingan perpaduan rakyat terhadap negara kepada mereka yang menontonnya khususnya golongan belia," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Kereta Proton Saga PROVIM 2017, di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini hari ini.

 

Turut hadir Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Mahmood Abdul Razak.

 

INFO 

 

PROVIM 2017

Juara - Proton Saga 1.3 Liter dan RM5,000

Naib Juara - Tiket pelayaran islamik dan RM3,000

Ketiga - Motosikal jenama Demak dan RM2,000

 

Kategori Video Popular PROVIM 2017

*Diadili berdasarkan jumlah 'like' tertinggi Facebook MPB 

* Hadiah wang tunai, RM1,000

 

Berita Harian X