Khamis, 27 Julai 2017 | 11:00am
Pulau Jarak
Pulau Jarak

Projek prasarana Pulau Jarak tak terbengkalai

KUALA LUMPUR: Projek pembinaan semula prasarana asas di Pulau Jarak, Perak, termasuk pembinaan tapak pendaratan helikopter untuk tentera dan agensi penguatkuasaan berkaitan berjalan lancar.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata tidak berbangkit isu projek terbengkalai, malah projek itu 31 hari lebih awal daripada jadual.

Projek itu untuk kegunaan pasukan keselamatan bagi menjaga perairan negara, dilaksanakan Jabatan Kerja Raya sejak Mei 2016 dan dijangka siap November 2018.

"Kerajaan memandang serius usaha memelihara keselamatan negara dengan memantau perkembangan projek itu. Oleh itu tidak timbul projek ini didakwa bermasalah," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri.

Mohamad Imran ingin mengetahui status pembinaan tapak daratan helikopter di Pulau Jarak yang dikatakan terbengkalai disebabkan kegagalan kontraktor yang dilantik tidak berkebolehan kerana terpilih berdasarkan hubungan politik.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Mohamad Imran, Shahidan berkata kontraktor yang dilantik adalah kontraktor yang berwibawa dan berpengalaman luas dalam bidang kejuruteraan.

Beliau berkata, buat masa ini, kerajaan gembira dengan prestasi projek dan menjangkakan akan siap lebih awal dari jadual.

"Kemajuan projek pada tahap 25 peratus berbanding jadual iaitu 22.8 peratus dan kerajaan akan memantau projek ini dari semasa ke semasa," katanya.

Berita Harian X