Selasa, 25 Julai 2017 | 5:48pm

KPT perkenal modul baharu kursus keusahawanan

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi, hari ini memperkenalkan modul baharu keusahawanan institusi pengajian tinggi (IPT), sejajar matlamatnya untuk melahirkan graduan yang lebih bercirikan keusahawanan.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata modul bertajuk "Introduction to Entrepreneurship" yang akan mula diguna pakai bermula September ini ditambah baik dengan subjek baharu termasuk keusahawanan digital, kanvas model perniagaan dan pengurusan kewangan peribadi.

Idris berkata, modul yang akan digunakan bagi kursus Asas Keusahawanan di IPT itu memberi lebih penekanan kepada pengalaman praktikal melalui tujuh pilihan pembelajaran pengalaman keusahawanan.

"Inisiatif ini menyokong lonjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang mahu melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

"Kursus berkenaan yang wajib diambil setiap pelajar bagi dua hingga tiga jam kredit akan menawarkan pembelajaran teori sebanyak 40 peratus dan praktikal sebanyak 60 peratus," katanya kepada media selepas melancarkan modul berkenaan di sini, hari ini.

Idris berkata, hasil pembelajaran modul itu diselaraskan semula untuk memenuhi penilaian Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA), sekali gus membolehkan pelajar mengguna pakai konsep dan proses keusahawanan dalam kerjaya mereka kelak.

"Ini juga akan memantapkan lagi program keusahawanan yang sudah pun kita laksanakan seperti Program CEO@Faculty dan program Dua Tahun Universiti dan Dua Tahun Industri (2U2I)," katanya.

DATUK Seri Idris Jusoh melancarkan modul keusahawanan institusi pengajian tinggi (IPT) di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X