Selasa, 25 Julai 2017 | 12:27pm
DEWAN Rakyat. - Foto Yazit Razali
DEWAN Rakyat. - Foto Yazit Razali

Rang undang-undang harga terangkum dibentang

KUALA LUMPUR: Kegagalan memasukkan kesemua caj termasuk cukai, duti, caj kerajaan dan semua caj lain yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan boleh menyebabkan pertubuhan perbadanan atau syarikat berdepan hukuman denda maksimum RM100,000 bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda maksimum RM250,000 dikenakan.

Individu yang disabitkan kesalahan itu pula dikenakan denda maksimum RM50,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, individu berkenaan berdepan hukuman denda maksimum RM100,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Peruntukan baharu itu terkandung dalam Rang Undang-Undang Kawalan Harga dan Antipencatutan (Pindaan) 2017 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Rang undang-undang itu antara lain bertujuan menangani pempameran harga atau caj yang tertakluk kepada pelbagai caj tambahan yang menyebabkan harga atau caj akhir yang lebih tinggi perlu dibayar oleh pengguna.

Seksyen 10B yang dicadangkan dimasukkan ke dalam Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) adalah untuk menggalakkan ketelusan dalam pempameran, pengiklanan, penyiaran atau sebutan harga atau caj.

Fasal dua rang undang-undang itu turut mencadangkan pemberian kuasa kepada pengawal (penguat kuasa) mengikut Seksyen 10C untuk mengarahkan mana-mana pihak yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barangan atau perkhidmatan untuk memberi pengawal penyata, dokumen atau maklumat yang mengandungi harga barangan atau caj perkhidmatan.

Maklumat yang diperoleh mengikut Seksyen 10C itu akan membolehkan kerajaan memperoleh data mengenai harga barangan dan caj bagi perkhidmatan untuk tujuan analisis.

Harga dan caj yang dipungut dan dianalisis akan membantu kerajaan untuk memantau harga barangan dan caj perkhidmatan di pasaran.

Pihak yang gagal mematuhi Seksyen 10B dan Sekyen 10C boleh didenda dengan penalti am mengikut Seksyen 57 Akta 723.

Fasal tiga rang undang-undang berkenaan adalah untuk meminda subseksyen 28(1) Akta 723 untuk membenarkan Penolong Pengawal mempunyai akses kepada mana-mana tempat atau premis perniagaan untuk memeriksa harga barangan atau caj perkhidmatan.

Sementara itu, Sum Agong turut membentangkan Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2017 untuk bacaan kali pertama hari ini.

Rang undang-undang itu merangkumi empat fasal dan fasal keempat bertujuan meminda Seksyen 15 Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) dengan menomborkan semula Seksyen 15 sebagai subseksyen 15(1) dan memasukkan subsekyen baharu (2), (3) dan (4).

Subseksyen 15 (1) Akta 730 memperuntukkan jika dalam mana-mana iklan, harga apa-apa barangan atau perkhidmatan disebut, harga itu hendaklah melainkan jika dinyatakan sebaliknya, disifatkan termasuk semua cukai dan duti kerajaan yang layak dan apa-apa caj lain.

Berita Harian X