Isnin, 24 Julai 2017 | 2:29pm

Operasi bersyarat di Kompleks Teruntum

KUANTAN: Semua operasi di Kompleks Teruntum, dekat sini yang diarah dihentikan boleh disambung esok dengan beberapa syarat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin, berkata operasi di kompleks berkenaan dibenarkan disambung esok jika sisa runtuhan di kawasan letak kenderaan dibersihkan.


Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan melakukan pemeriksaan dan pembersihan di lokasi kejadian selepas tangki air pecah yang berlaku dari tingkat 4 di Kompleks Teruntum, semalam. NSTP/MUHD ASYRAF SAWAL

"Kita sudah melakukan pemeriksaan awal dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, kita boleh benarkan mereka beroperasi semula esok jika pihak pengurusan bangunan boleh bersihkan sisa runtuhan hari ini.

"Selain itu, kita harap pihak pengurusan bangunan juga dapat mengikuti garis panduan yang sudah kami tetapkan bagi tujuan keselamatan semua pihak yang berurusan di sini," katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Badan Pengurusan Bangunan Kompleks Teruntum, Mohd Zaid Harun berkata, pihaknya pihaknya sedia memenuhi syarat ditetapkan.

"Kami juga diarahkan menutup semua pintu masuk yang ada di bahagian belakang kompleks ini, termasuk kawasan letak kereta, semua urusan, termasuk bank yang berada di bahagian depan boleh beroperasi esok dan hanya pintu masuk utama dibuka untuk orang ramai," katanya.

Mohd Zaid berkata, terdapat 60 lot perniagaan di kompleks yang mula beroperasi Januari 1980 itu dan hanya 60 peratus sahaja disewa oleh peniaga.

Berita Harian X